Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kira-kira 100 orang pelajar Tahun 8 Sekolah Seri Mulia Sarjana (SSMS) menghadiri Jerayawara Kebudayaan yang dikendalikan oleh peserta belia Program Kapal Belia bagi Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-48 yang berlangsung di SSMS (Bahagian Menengah), baru-baru ini.
Jerayawara tersebut merupakan aktiviti pasca program (PPA) bagi peserta belia SSEAYP ke-48 bermatlamat untuk mengongsi semangat dan pengalaman SSEAYP sambil memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap budaya dan kesenian Brunei.

Kumpulan peserta belia berkenaan mengetengahkan persembahan tarian tradisional, pengalaman peribadi daripada SSEAYP dan mengendalikan kuiz untuk para pelajar.
Tarikan utama jerayawara adalah bengkel interaktif kebudayaan dan kesenian termasuk menambat dastar, menapih sinjang, sesi tarian, sesi bercerita kisah rakyat dan mempelajari bahasa Brunei.
Hadir pada jerayawara berkenaan ialah Pengetua SSMS (Menengah), Ghazala Abdullah dan Presiden BERSATU, Hajah Rosmawatiniah binti PA Haji Ibrahim.