Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SSHP tingkat ilmu, pengalaman tentang sains, teknologi

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) telah menghantar lima orang pelajar dan dua orang guru pengawas bagi menyertai Program Sekolah Tinggi Sains Sakura (SSHP) 2024 di Jepun yang bermula hari ini hingga 25 Mei.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Ketua Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.

    Para pelajar terpilih mengikuti program anjuran Japan Science and Technology Agency (JST) itu terdiri daripada mereka yang sedang menuntut di peringkat Pra U yang berumur 15 tahun ke atas berdasarkan kecemerlangan dan minat mereka dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.

    Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk mendedahkan pelajar kepada perkembangan sains dan teknologi di Jepun dengan mengadakan lawatan ke universiti-universiti dan institut penyelidikan.

    Di samping itu, mereka juga akan menghadiri kuliah yang membincangkan tentang kemajuan dalam bidang sains dan teknologi serta menimba pengalaman mengenai cutting-edge dalam bidang berkenaan, termasuk melaksanakan eksperimen langsung melalui demonstrasi daripada saintis terkemuka.

    Para pelajar dan guru pengawas bergambar ramai sebelum berlepas ke Jepun. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Selain itu, program tersebut juga memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berinteraksi dengan para pelajar dari Jepun, India, Korea, Kyrgyzstan dan Thailand yang menyertai program berkenaan sekali gus memberikan pendedahan kepada budaya Jepun dan penduduknya.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Dayang Nurfa’eqah Syahirah binti Haji Abdul Majid dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, Albert Quet Moncherry dari PTE Meragang, Awang Mohamed Nabil bin Mohamed Hairol dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Lee Jing Jing dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Awang Muhd Luqman Al-Hakim bin Aliuddin dari PTE Tutong.

    Rombongan diketuai oleh Pegawai Pendidikan dari PTE Belait, Dayang Norlela binti Puasa dan Pegawai Pendidikan dari PTE Sengkurong, Dayang Wahidatu Ashriha binti Ya’akub.

    Program SSHP 2024 diisikan dengan aktiviti lawatan ke institusi pendidikan dan penyelidikan, makmal dan tempat-tempat menarik seperti Tokyo University, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), National Institute of Advanced Industrial Science and Technology, Sophia University, dan National Museum of Emerging Science and Innovation ‘Miraikan.’

    Kumpulan pelajar yang mewakili setiap negara dikehendaki untuk menghasilkan pembentangan dan pertunjukan singkat bagi memperkenalkan negara dan budaya untuk dikongsikan semasa program berlangsung bersama-sama dengan kumpulan peserta antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda