Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SSM terima 591 aduan syarikat berkaitan penipuan pelaburan

    SEREMBAN, 19 OGOS – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerima 591 aduan berkaitan syarikat yang menawarkan pelaburan secara penipuan dan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, dari tempoh 2022 hingga Julai lepas.

    Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata statistik tinggi yang direkodkan itu menunjukkan ia merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani secara bersepadu.

    “Sebanyak 28 penipuan pelaburan dan tiga kes penipuan Skim Kepentingan 2016 dicatatkan pada 2022 dan ia naik mendadak kepada 320 kes pada tahun lepas melibatkan penipuan pelaburan, manakala Skim Kepentingan 2016 sebanyak 46 kes.

    “Setakat Julai lepas pula, 190 kes penipuan pelaburan direkodkan dan empat kes penipuan Skim Kepentingan 2016,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan Peringkat Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

    Beliau berkata selain penipuan pelaburan pihaknya turut menerima aduan membabitkan skim sumbangan dana kebajikan.

    Ahmad Sabki berkata SSM sentiasa menjalankan kerjasama erat dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi membendung isu penipuan pelaburan yang semakin berleluasa. – Bernama

    Ahmad Sabki (tiga, kanan) beramah mesra bersama penerima replika cek Agihan Wakalah Zakat Korporat pada Program Bimbingan Usahawan di Dewan Pekerti, pada 19 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda