Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 7 MAC – Syarikat Stesen Minyak Perusahaan Cahaya Pakatan Berhad (SSMPCPB) telah mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SSMPCPB bertempat di Ibu Pejabat Persatuan Pakatan, Jalan Enche Awang, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SSMPCPB, Haji Junaidi bin OKSN Haji Mohd Safar. Beliau mengalu-alukan kehadiran ahli lembaga pengarah baharu terdiri daripada empat orang yang dipilih semasa mesyuarat agung pada 25 Februari lalu yang telah dibuka rasmi oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Mesyuarat tersebut menyaksikan pembentangan sejarah penubuhan Persatuan Pakatan yang menjalankan pentadbiran dan pengurusan stesen minyak di Pekan Tutong, mula dikenali Stesen Minyak Perusahaan Cahaya Pakatan (SMPCP) yang disewa dari Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) sejak tahun 1999 selama 30 tahun. Sehingga masa ini, stesen minyak berkenaan telah diletakkan di bawah peraturan baharu menjadikan sebuah syarikat berkanun.
Turut dibentangkan dalam mesyuarat adalah keuntungan dalam tempoh 30 tahun yang diperoleh oleh ahli-ahli syarikat berjumlah $1,388.206, yang melebihi jumlah saham $283,700, iaitu lebih kurang 150 peratus keuntungan yang telah diterima dalam tempoh tersebut.
SMPCP yang kini dikenali sebagai SSMPCPB telah menerima 18 anugerah kepujian dalam pelbagai bidang. Pada 28 Februari lalu, syarikat itu sekali lagi dianugerahkan operational excellence, mengiktiraf syarikat mempunyai urus tadbir terbaik.
Mesyuarat itu juga membincangkan perkara-perkara draf kunci kira-kira tahun 2024; permohonan tapak tanah dicadangkan untuk membangun sebuah stesen minyak di Daerah Tutong; mengesahkan pelantikan audit ‘pkf’ untuk tahun 2025 hingga 2026; meneliti peraturan-peraturan dalam undang-undang syarikat; dan melantik ahli lembaga pengarah 2026.
Pada masa ini, ahli-ahli Lembaga Pengarah SSMPCPB terdiri daripada Pengerusi, Haji Junaidi; Timbalan Pengerusi, Awang Nadzri bin Haji Yahya; Pengarah Urusan, Haji Abdul Rahman bin Haji Serudin; Setiausaha, Haji Zahreen bin Haji Basni; Bendahari, Dayang Norjainah binti Abu Bakar (Lantikan Khas). Manakala Haji Abdul Latif bin Bungsu, Awang Hamidon bin Haji Md Said dan Awang Adzmin Eidishah Yusof bin Dato Haji Hassan juga selaku ahli-ahli lembaga syarikat tersebut.
