Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SSMS juara pidato Jepun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Sekolah Seri Mulia Sarjana (SSMS) diumumkan sebagai johan dalam Pertandingan Pidato Jepun ke-33, hari ini, pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.

    Sementara Sekolah Mahad Islam Brunei dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHAB), masing-masing diumumkan pemenang tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan tersebut.

    Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis yang berlangsung di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, ialah Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Yamamoto Eiji. Turut hadir, Pengarah Pusat Bahasa UBD, Dr Yabit Alas, Timbalan Pengarah L3C, Walter Chong, Presiden Persatuan Jepun, Hatanaka, Dr Liling dari (BAJA) dan Pemangku Penolong Pengarah DCCE, Dayang Hajah Hajidah binti Haji Abd Wahab.

    Antara lain tujuan pertandingan ini adalah untuk memberi galakan serta menyediakan platform kepada peserta untuk menunjukkan penguasaan bahasa Jepun melalui pengucapan awam. Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah, pusat tingkatan enam dan IBTE untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Jepun.

    Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori penyampaian dan pidato.

    Disebabkan pandemik COVID-19, kumpulan kategori penyampaian telah diadakan dan lima kumpulan telah berjaya memasuki peringkat saringan.

    Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Bahagian Pendidikan Lanjutan (L3C) dan Pusat Bahasa Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum (DCCE), Kementerian Pendidikan dan Yayasan Jepun, Persatuan Jepun di Brunei dan Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA).

    Sekolah Seri Mulia Sarjana menerima hadiah dari TYT Yamamoto Eiji. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda