Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Dalam usaha berterusan bagi mengekalkan gaya hidup sihat, ahli Kumpulan Santai-santai Riders (SSR) dan Amateur Cycling Team (ACT) Negara Brunei Darussalam, telah menyertai Riadah Berbasikal Tour De Labuan, hari ini.
Kayuhan sejauh 55 kilometer itu merupakan anjuran Kelab Berbasikal SAS dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan sempena Hari Sukan Negara Peringkat WP Labuan 2023.
Kayuhan tersebut telah mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 270 peserta dari Brunei Darussalam, Labuan, Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.
Acara bermula dari Perkarangan Desa Tunas Hijau Jalan Sungai Pagar Kampung Sungai Miri WP Labuan.
Kayuhan itu telah dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Mohammad Syahfie bin Haji Japaril, selaku tetamu kehormat majlis.
Semasa acara tersebut, Ketua Pasukan SSR, Haji Mohammaed bin Haji Mohd Zanai antara lain mengongsikan, dengan adanya acara seumpama ini, ia bukan sahaja dapat mempersiapkan peserta dengan pengalaman, malahan ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para penggemar aktiviti berbasikal rentas sempadan.
Di akhir acara, Haji Mohammaed telah menyampaikan cenderahati kenangan kepada pihak penganjur Kelab Berbasikal SAS.