Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SSSRU: 60 pelajar diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 60 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi 2021 yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini.

    Bagi Peperiksaan SSSRU 2021, sekolah berkenaan telah mencatatkan pencapaian 98.3 peratus lulus iaitu 49 orang mendapat Pangkat 1, lapan orang mendapat Pangkat 2 dan tiga orang mendapat Pangkat 3.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada pelajar yang diraikan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Datin Shazainah binti Pengiran Dato Paduka Haji Shariffuddin.

    Dalam ucapannya, tetamu kehormat antara lain menjelaskan bahawa persekolahan agama telah menyumbang kepada kemantapan hidup beragama di negara ini.

    “Dengan wawasan ini akan lahirlah generasi dan masyarakat Brunei yang teguh beriman, taat mengerjakan amal ibadat dan ajaran Islam menurut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Mazhab Syafie dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera,” jelasnya.

    Majlis diserikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid sekolah berkenaan dan seterusnya penyampaian hadiah penghargaan murid cemerlang.

    Menurut kenyataan yang diberikan, majlis berkenaan merupakan sebagai insentif dan pendorong kepada pelajar dan ibu bapa dalam mempertingkatkan pencapaian dalam bidang akademik.

    Selain itu, ia sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada tenaga pengajar atas usaha berterusan menghasilkan keputusan membanggakan, dan kepada ibu bapa yang memberikan sokongan padu dalam kejayaan anak-anak.

    Ia juga sebagai salah satu usaha ke arah memupuk jalinan kerjasama padu antara pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa.

    ATAS & BAWAH: Salah seorang pelajar menerima SSSRU daripada tetamu kehormat majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda