BANDAR SERI BEGAWAN – Pada hari Sabtu yang lalu menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah Sekolah St.Andrew yang mana sekolah tersebut telah meraikan Jubli Intan penubuhan sekolah berkenaan kali ke-60 tahun. Sambutan tersebut diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan dan tetamu kehormat dalam sambutan itu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Sekolah, Stephen Ong yang mana beliau juga merupakan alumni sekolah berkenaan.
Dalam majlis tersebut, Pengetua dan juga bekas pelajar sekolah tersebut, Jane Keasberry dalam kata-kata aluan cuba menelusuri sejarah sekolah tersebut daripada awal penubuhan sehinggalah menjadi salah sebuah institusi pendidikan berprestij tingi dan terkenal di negara ini.
Stephen Ong dalam ucapan beliau menekankan bukan sahaja kepentingan pendidikan dalam tahun-tahun pembentukan kehidupan awal para pelajar tetapi juga persahabatan sepanjang hayat yang dijalin dan nilai-nilai terbaik dalam kehidupan yang dipupuk dalam minda setiap pelajar sebelum pelajar itu melangkah ke ambang kehidupan sebenar di dunia luar.
Sambutan tersebut di adakan dalam kalangan ‘Ahli Keluarga’ sekolah termasuk ahli Lembaga Gabenor, kaki tangan dan para pelajar. Sambutan itu dimeriahkan dengan pelbagai acara yang menarik oleh pihak sekolah berkenaan.
Satu penghargaan
Acara kemuncak adalah penyampaian sijil penghargaan kepada guru yang telah bertugas dengan penuh dedikasi kepada sekolah selama 15 tahun dan ke atas. Penerima anugerah perkhidmatan lama adalah daripada 15 hingga 38 tahun. Lembaga Gabenor memainkan peranan penting dalam kebajikan kaki tangan dan pelajar serta perkembangan sekolah tidak dilupakan. Kaki tangan yang telah berkhidmat dalam Lembaga Gabenor dari 15 hingga 51 tahun juga diberikan anugerah dengan sijil penghargaan.


Sambutan itu diteruskan dengan konsert menarik yang memaparkan pelbagai nasionalis pelajar dan kebudayaan warga sekolah. Rombongan Lembaga Gabenor seterusnya dibawa ke perpustakaan sekolah di mana terdapat pameran gambar, poster dan gambar anak kerabat diraja yang menghadiri sekolah tersebut, kaunselor pelajar masa silam serta acara yang sudah berlalu dan sekarang yang menjangkau tahun-tahun 1957 sehingga 2017.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa, Dato Jack Ting, memainkan peranan penting dengan memberikan sumbangan besar kepada acara dalam perhiasan perayaan jubli intan yang menarik dan pengaturan galeri arkib.
Pada keseluruhannya, ia adalah satu acara yang penuh gemilang dengan seluruh warga sekolah memberikan komitmen sepenuh mereka untuk menjayakan perayaan, satu pencapaian yang akan dijadikan kenangan pada masa depan.
Pada 4 Ogos 2017 pada pukul 8 malam di ICC, anda semua dijemput untuk menghadiri Makan Malam DJ Gala.
Makan Malam Gala itu bukan sahaja dikhaskan kepada alumni sekolah berkenaan tetapi juga untuk orang ramai. Tiket boleh dibeli daripada sekolah berkenaan.