Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BAGAWAN, 20 NOV – Sebagai wadah perkongsian maklumat bagi pelajar-pelajar persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA HB), telah mengadakan Hari Terbuka di sekolah berkenaan, hari ini.
Perkongsian ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pembelajaran mereka pusat tingkatan enam atau pra-universiti persekolahan Arab yang ada di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan merasmikan Hari Terbuka sekolah berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.


Acara ini antara lain bertujuan untuk membarigakan kemudahan-kemudahan serta jurusan-jurusan pembelajaran yang ditawarkan di sekolah berkenaan, di samping hala tuju dan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi nanti.
Turut menyertai Hari Terbuka STA HB itu, Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pertahanan; Bahagian Biasiswa, Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Bahagian Biasiswa, Brunei Shell Petroleum Company Sendirian Berhad; Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Universiti Brunei Darussalam, dan Universiti Teknologi Brunei.
Hari Terbuka STA HB diisi dengan penyampaian Sijil Penyertaan kepada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam Program Hari Terbuka tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan lawatan ke ruang-ruang pameran.



