BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebagai usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA BH) kelmarin mengadakan Program Hayya Ilal ‘Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan Akhlak Mahkota Ulama: Meneladani Mereka, Meningkatkan Martabat Diri bertempat di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat, diikuti Ucapan Alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad.
Antara pengisian atur cara termasuk perasmian program, persembahan lagu Hayya Ilal ‘Arabiyyah, persembahan tausyeh serta lawatan ke petak-petak aktiviti.
Program tersebut merupakan inisiatif Jabatan Pengajian Islam melalui sekolah-sekolah Arab bagi memperkukuh penguasaan pelajar dalam bahasa Arab. Program ini berperanan sebagai wadah praktikal bagi pelajar mengaplikasikan bahasa Arab melalui pelbagai aktiviti kokurikulum yang menarik dan menyeronokkan, selain meningkatkan keyakinan pelajar untuk bertutur dengan lebih fasih dan berkesan.



