Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Stacy beri kesedaran melalui lagu

    Penyanyi, Stacy (gambar-Agensi) muncul dengan lagu terbaharu berjudul Teriak yang membawa mesej berkaitan masalah mental yang pernah dilaluinya sebelum ini.

    Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 33, berkata lagu berkenaan bertujuan menyedarkan orang ramai tentang kesedaran kesihatan mental yang jarang diambil berat.

    “Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang berkaitan masalah kesihatan mental.

    Teriak juga menceritakan tentang pengalaman sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental.

    “Cuma, bila teringat kembali peristiwa itu, saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya ketika itu, sedangkan ia sangat penting. Saya rasa ramai orang mengalami masalah sama,” katanya menerusi kenyataan kepada mStar.

    Kata Stacy, dia sebelum ini tidak begitu memahami tentang masalah kesihatan mental dan disebabkan itu dia memilih untuk mendiamkan diri.

    Apa yang dilakukan ketika itu kata isteri kepada Akim Ahmad, dia hanya mampu bersabar dengan tekanan jiwa dihadapi dan berharap ia akan berlalu pergi.

    “Saya tak faham tentang masalah mental dan apabila mengalaminya sendiri saya hanya diam dan bersabar.

    “Sedangkan ada banyak kumpulan sokongan seperti Befrienders yang boleh dihubungi untuk membantu individu berdepan masalah kemurungan dan sebagainya,” jelasnya.

    Mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri muzik, Stacy memberitahu lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodi terlebih dahulu.

    “Saya berasakan melodi ini memerlukan lirik yang betul-betul kuat. Disebabkan lagu ini juga saya yang nyanyikan sendiri, saya mahukan lirik lagu yang lebih daripada biasa.

    “Ia mengambil masa agak lama juga untuk dihasilkan kerana perlu mencari lirik yang betul-betul sesuai,” katanya lagi.

    Stacy yang terkenal dengan lagu rancak sehingga menerima julukan ‘Ratu Tari’ menjelaskan Teriak menampilkan genre rok yang memberi cabaran tersendiri berbeza dengan single sebelum ini.

    Dari segi teknikal pula, ia sangat memerlukan usaha yang banyak untuk hasil terbaik.

    “Saya berterima kasih kepada Akim kerana dia banyak membantu saya. Tanpa adanya bantuan daripadanya, mungkin lagu ini tidak akan menjadi,” kongsinya.

    Lebih menarik lagi apabila lagu Teriak ini bakal dipersembahkan secara eksklusif pada Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Stacy, 25 Februari ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...