Sejak kekecohan menarik diri daripada konsert A Night With Sumandak Stars, ramai mula menuduh penyanyi Stacy bersikap diva.
Menjawab tuduhan tersebut, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, memberitahu mengingatkan orang ramai dia berasal daripada keluarga susah.
Stacy sebaliknya memberitahu dia hanya mempamerkan sikap diva ketika mengadakan persembahan di atas pentas.
“Mungkin mereka lupa yang saya berasal dari mana? Iaitu keluarga susah. Saya hanya ‘diva’ semasa menyanyi sahaja,” katanya kepada mStar.
Stacy memaklumkan perkara itu ketika sidang media sejurus selesai pengumuman 10 lagu yang layak ke AJL pada tahun depan.
Bagaimanapun kata Stacy, dia sudah lali dan tidak pernah menghiraukan kecaman orang lain pada hari dia membuat keputusan menarik diri.
“Saya sudah 16 tahun dalam industri, takkan lah tidak faham lagi benda (kecaman) itu. Saya tidak perlu marah sebab ini adalah kerja saya,” tuturnya.
Bercakap mengenai hubungannya dengan penyanyi Bella Astillah, Stacy menjelaskan mereka belum pernah berjumpa selepas kejadian tersebut.
Bagaimanapun pelantun lagu Pelangi Senja itu yakin hubungan mereka dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Mungkin sekarang ini masing-masing tengah sibuk dan masih belum berjumpa tetapi kalau berjumpa pun mustahil nak bermasam muka.
“Ini kerana kami pun sudah tua dan mempunyai anak,” ujarnya.
Sementara itu, Stacy menjelaskan punca utama dia menarik diri adalah kerana dia bakal mengadakan konsert solo tahun depan. – Agensi