BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Seramai 15 orang sukarelawan dari Standard Chartered (StanChart) Brunei baru-baru ini menganjurkan inisiatif sukarelawan bersama SMARTER yang diadakan di Pusat BACA SMARTER, Kampung Sungai Hancing.
Inisiatif itu turut disertai oleh kira-kira 50 belia dengan tahap kebergantungan berbeza dalam aktiviti memasak separuh hari.
Semasa aktiviti tersebut, para sukarelawan, guru-guru di SMARTER dan belia berganding bahu menyediakan dua resipi. Sesi interaktif itu bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran memasak dan penyediaan makanan yang sedia ada, malah turut memupuk kerjasama berpasukan serta komunikasi dalam suasana yang menyokong dan inklusif.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat, Jenama dan Pemasaran StanChart Brunei, Marilyn Graeme, berkata, “Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada acara bermakna ini, di mana para sukarelawan kami dapat memberi impak positif dan mencipta kenangan yang berkekalan bersama belia hebat di SMARTER.
“Di StanChart, kami percaya kepada kekuatan komuniti dan kepentingan memberi kembali. Aktiviti memasak ini merupakan peluang yang amat baik untuk kami berhubung dan menyokong komuniti SMARTER,” tambahnya
Aktiviti tersebut mencerminkan komitmen lebih luas StanChart terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial, dengan menggalakkan kakitangan untuk menjadi sukarelawan dalam inisiatif yang menyumbang kepada komuniti tempatan dan alam sekitar.
Ia diadakan bertujuan untuk memberikan keceriaan dan peluang belajar dengan remaja autisme. Selain itu, ia juga untuk memupuk semangat kemasyarakatan, meningkatkan kemahiran sosial, serta memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal dan menyeronokkan kepada semua peserta.



