Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Bank Standard Chartered Brunei (StanChart) mengumumkan kerjasama terbaharu bersama Porsche Brunei bagi model terbaharu Porsche 911 dan kenderaan elektrik (EV).
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi, kecemerlangan dan kemajuan yang lestari.
Seiring dengan peralihan dunia ke arah gaya hidup dan penyelesaian mobiliti yang lebih lestari, StanChart kekal berada di barisan hadapan dengan menjalin kerjasama bersama jenama seperti Porsche yang sedang mentransformasikan landskap automotif melalui rekaan moden dan teknologi elektrifikasi yang canggih.
Kerjasama itu bukan sahaja meraikan mutu kerja ikonik dan keunggulan kejuruteraan Porsche, malah menjadi bukti komitmen bank berkenaan dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi yang lestari melalui perniagaan, operasi dan komuniti.
Menerusi kerjasama yang bermula dari 17 September hingga 31 Disember, bank berkenaan menawarkan kadar faedah efektif (EIR) istimewa sebanyak 5 peratus ke atas pinjaman peribadi yang diluluskan bagi pelanggan yang ingin membeli model Porsche 911 dan atau mana-mana model EV dari Porsche sepanjang tempoh promosi tersebut.

Pelanggan yang berjaya membeli model EV dari Porsche akan layak menerima rebat tunai sebanyak 2 peratus berdasarkan jumlah pinjaman yang diluluskan.
Selain daripada rebat tunai tersebut, pelanggan yang membeli model EV juga akan menerima waranti percuma selama lima tahun, pakej servis dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun, perlindungan insurans kenderaan bermotor untuk tahun pertama secara percuma daripada Syarikat Insurans Nasional Berhad, serta pengecas dinding (wall box charger) percuma berserta pemasangan di rumah secara percuma dan hadiah-hadiah eksklusif daripada Porsche Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Securities dan Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit, Brenda Low antara lain berkata, “Kerjasama kami dengan Porsche bukan sekadar memperkenalkan sebuah kenderaan ikonik, tetapi ia adalah mengenai menyatukan dua dunia yang berkongsi semangat yang sama dalam kemajuan, prestasi dan tujuan.
“Sama ada melalui model ikonik 911 atau kemajuan terkini daripada Porsche, kerjasama ini menggabungkan prestasi dan tanggungjawab,” tambahnya.
Manakala, bagi pelanggan yang membeli Porsche 911 baharu sepanjang tempoh promosi ini akan menerima tawaran-tawaran yang menarik.

