BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Sebagai mengiktiraf Hari Diversiti Budaya, Dialog dan Pembangunan Sedunia, kakitangan Bank Standard Chartered (StanChart) tampil bergaya dalam kostum kebudayaan berlainan untuk meraikan bukan sahaja keunikan pelbagai budaya dunia, tetapi juga menekankan kepentingan diversiti bank sebagai satu ejen keterangkuman dan perubahan positif di pasaran di mana mereka beroperasi.
Menurut kenyataan yang diterima dari StanChart, hari ini, acara itu disertai oleh kakitangan semua bank StanChart untuk meraikan tema budaya, menggalakkan dialog terbuka, di mana StanChart komited untuk mempromosi kesamaan di tempat kerja dan mewujudkan budaya yang inklusif dan fleksibel supaya semua orang boleh mencapai potensi penuh serta memberikan sumbangan positif di tempat kerja dan komuniti.
Ketua Sumber Manusia, Laila Li berkata, “Bank Standard Chartered amat mementingkan diversiti unik pekerjanya dalam semua aspek – daripada penerimaan budaya kepada kesamaan jantina, komitmen kami adalah sentiasa mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin di mana semua orang dilayan dengan penuh hormat dan sama darjat.
“Dengan 85,000 pekerja di 59 pasaran serta 124 negara berlainan, StanChart percaya budaya yang inklusif adalah penting untuk membolehkan kami berkembang,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Dasar Diversiti dan Keterangkuman StanChart, bolehlah melayari laman web bank tersebut.
