Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stand beg tangan perkemas ruang bilik

    Oleh Amri HTZ –

    Keadaan bilik yang tidak teratur terutamanya disebabkan koleksi beg tangan yang terlalu banyak semestinya menjadikan suasana berehat terganggu setelah balik bekerja atau bersiar-siar.

    Walaupun berasa penat, sesetengah individu kadang-kadang terpaksa memaksa diri untuk mengatur kembali beg yang telah digunakan ke ruang khususnya. Bagi mengatasi masalah ini, perlunya memiliki stand beg tangan yang mudah untuk direka sendiri.

    Barangan penting perlu ada

    Mesin pemotong kayu jenis meja
    Circular saw
    Mesin router
    Kertas pasir
    Gam kayu
    Wood filler
    Dowel kayu
    Kayu
    Mesin gerudi
    Alat pengukur
    Pensel atau pen penanda
    Kertas

    POTONG KAYU DENGAN UKURAN DIPERLUKAN

    Untuk langkah pertama, potong kayu tersedia dengan ukuran 172 x 6.5 x 6.5cm sebatang (bahagian tiang), 35 x 35cm sekeping (bahagian bawah), 5 x 5cm (penggantung).

    Gunakan mesin circular untuk memotong material yang terlalu besar atau panjang.

    Sementara bagi penggunaan mesin pemotong kayu meja, hanya material yang mudah untuk dikendalikan dan tidak terlalu besar sesuai untuk digunakan bagi keselamatan. (gambar 2)

    Gambar 1. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 2. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 3. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 4. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 5. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 6. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 7. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 8. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 9. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House
    Gambar 10. – Gambar oleh Yvette M dan This Old House

    Potongan kayu dengan lebar 5 x 5cm untuk bahagian penggantung sebelumnya kemudian akan dipotongkan lagi dengan panjang diperlukan. Panjangnya tertakluk dengan jumlah barangan yang hendak digantungkan. Namun dinasihatkan tidak terlalu menempatkan jumlah barangan yang banyak pada bahagian atas bagi memastikan rekaan kekal stabil.

    Terdapat dua bentuk rekaan boleh dilakukan: pertama, kayu penggantung yang pendek pada bahagian atas dan lebih panjang pada bahagian bawah; dan kedua, kedua-duanya mempunyai ukuran yang sama rata. (gambar3)

    Dalam projek ini, panjang kayu penggantung ialah kira-kira 23cm. Salah satu bahagian hujung kayu pula akan dipotongkan dengan sudut 45 darjah bagi mendapatkan kedudukan penggantung yang mencondong. Tetapkan mitre gauge pada kedudukan diperlukan bagi memastikan semua bahagian dapat dipotong dengan sama dan cepat. (gambar 4)

    Kayu bahagian penggantung yang telah dipotong kemudiannya ditetapkan pada permukaan sisi bahagian tiang. Untuk menetapkan kayu tersebut, dowel kayu akan digunakan sebagai bahagian penyokong cantuman. Sapukan gam kayu sebelum memasukkan dowel termasuk permukaan cantuman. Selain menggunakan teknik sedemikian, awda juga boleh menggunakan skru untuk menetapkannya namun bagi mereka yang tidak mahu teknik cantuman yang terlalu menonjol, cara ini bukanlah pilihan utama. (gambar 5)

    POTONG KAYU BAHAGIAN BAWAH

    Sebelum membolehkan awda memotongkan kayu dengan bahagian diperlukan, terlebih dahulu lakar bentuk diperlukan pada permukaan papan. Walaupun kayu dipotongkan dengan ukuran 35 x 35cm, namun ukuran sebenar yang diperlukan hanyalah 30 x 30cm.

    Lebihan ukuran disengajakan bagi memastikan terdapat ruang yang membolehkan bagi ukuran sebenar dipotong dengan tepat dan lebih selesa. (gambar 6)

    Untuk memotongkannya, terdapat dua cara, menggunakan mesin router atau jig. Bagi mesin jig, ia cukup mudah dengan hanya memotong pada bahagian luaran (lakaran) kayu.

    Sementara mesin router, memerlukan awda menggunakan alat jig khusus yang boleh mengekalkan kedudukan mesin. Dengan menetapkan salah satu bahagian hujung jig pada alat jig pada bahagian tengah kayu, ia hanya perlu disorong untuk memotong bentuk bulatan. (gambar 7)

    Dua kepingan kayu diperlukan untuk langkah ini iaitu kayu bulat berdiameter 30cm dan 26cm yang kemudiannya dicantum bersama menjadi satu. Sapukan permukaan kayu dengan gam sebelum mencantumkannya dengan kedua-dua kayu ditetapkan menggunakan skru pada bahagian tengahnya untuk memastikan kedudukannya tepat. (gambar 8)

    GOSOK KAYU, TUTUP RUANG TERDEDAH

    Keseluruhan permukaan kayu kemudiannya akan digosok untuk menghalusi permukaannya menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit diikuti yang lebih halus iaitu 180 dan 400 grit.

    Keseluruhan sudut kayu pula akan digosok sehingga membulat untuk menjadikan rekaan nampak lebih profesional direka oleh seorang pakar. (gambar 9)

    Manakala permukaan cantuman keseluruhan bahagian yang tidak sempurna boleh diperbaiki dengan cara menutupinya menggunakan wood filler. Sapukan wood filler dan tunggu sehingga ia mengering sebelum membolehkan awda meratakannya menggunakan
    kertas pasir.

    Rekaan yang telah siap kini boleh digunakan yang cukup bermanfaat untuk menjadikan bilik lebih teratur termasuk menghiasinya.

    Tip

    Sebagai pilihan, permukaan rekaan juga boleh disapukan dengan wood finish yang sesuai untuk melindunginya.

    Gunakan pahat kayu untuk membulatkan sudut kayu sebelum menggosoknya menggunakan kertas pasir bagi mempercepat proses.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda