Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stand pengecas dan penyimpanan

    Oleh Amri HTZ

    Masalah meja bilik tidur yang dipenuhi dengan pelbagai barangan setentunya dialami oleh hampir semua orang. Meja yang biasanya berukuran kecil, menempatkan barangan penting yang digunakan sehari-hari agar ia tidak tertinggal atau hilang.

    Namun dengan keadaan meja yang kurang teratur, boleh menyebabkan salah satu perkara yang tidak diingini berlaku. Untuk itu bagi memperbaiki keadaan, mendapatkan tempat pen-yimpanan khusus tiga dalam satu iaitu pengecas telefon bimbit, jam dan ruangan penyimpanan kaca mata, kunci atau cincin merupakan suatu kemestian.

    Persiapan awal

    Sebagai persiapan awal, peralatan dan barangan untuk mereka perlu disediakan terlebih dahulu seperti kertas pasir, ketam kayu, mesin pemotong kayu, pen penanda, mesin router, pengukur atau pembaris, pahat kayu, mesin pengukir, mata gerudi berdiameter sama dengan pengecas jam, wood oil atau wax.

    Langkah pembuatan

    Sebelum membuat pemotongan kayu dalam projek ini, anda terlebih dahulu perlu mengukur kaki stand pengecas telefon bimbit bagi mendapatkan ukuran keseluruhan stand. Dalam projek ini pengecas telefon tanpa wayar yang digunakan berukuran 4 1/8” lebar dengan jarak di antara rangka (kayu berdiri) untuk pengecas jam ¼”.

    Sementara tray untuk kaca mata akan direka dengan panjang 6 1/8” yang mempunyai border di kesemua sudut kelebaran ¼”. Dengan ukuran yang digunakan ini, keseluruhan struktur stand pengecas tanpa wayar ini akan memerlukan ada memotongkan kayu dengan panjang 12” keseluruhannya dengan ketebalan ¾”.

    Proses mereka ruangan penyimpanan untuk pelbagai barangan menggunakan mesin router.
    Setelah menggunakan mesin router, ratakan permukaan yang tidak diliputi menggunakan pahat kayu.
    Bentuk sudut potongan stand (rangka berdiri pengecas jam) yang diperlukan.
    Hujung kayu dengan bentuk tenon digunakan untuk mencantumkan keseluruhan bahagian.
    Proses melorek permukaan kayu bagi menyembunyikan wayar pengecas.

    Melihat kepada kayu yang digunakan, jika ia mempunyai permukaan yang kasar, ia perlu terlebih dahulu diratakan menggunakan kertas pasir di kesemua permukaan. Ini bagi memastikan langkah menghaluskan permukaan menggunakan kertas pasir lebih mudah berbanding permukaan yang belum diketam. Apabila permukaan kayu telah diratakan, potongkan kayu dengan kepanjangan 12”.

    Langkah seterusnya adalah mereka ruangan berukuran 6 1/8” untuk me-nempatkan barangan seperti kunci, kaca mata dan sebagainya dengan kedalaman ½”. Sebelum itu tandakan menggunakan pensel ruangan tersebut dengan meninggalkan ¼” border di setiap sudut. Border yang direka ini bertujuan memastikan barangan yang diletakkan tidak akan tergolek keluar.

    Setelah menandakan ruangan berukuran 6 1/8” panjang dan 4 1/8” lebar, lorek ruangan tersebut menggunakan mesin router dengan mata straight tip. Kedalaman ruangan yang diperlukan ½” namun ketika proses mereka ruangan tersebut, tidak dinasihatkan untuk menetapkan kedalaman mata pada mesin terus dengan ukuran tersebut. Ini kerana ia akan mengakibatkan mata mesin rosak selain putaran laju mesin ketika anda membenamkan mata akan mengakibatkannya bergerak tidak tentu arah.

    Perkara ini setentunya membahayakan jika mesin terlepas dari tangan dan mengenai anggota badan. Untuk itu, tetapkan kedalaman mata mesin sedikit demi sedikit sehinggalah awda mendapatkan kedalaman yang diperlukan.

    Keseluruhan ruangan untuk menempatkan barangan yang telah dilorek menggunakan mesin router kadangkala akan menghasilkan permukaan yang tidak tersentuh atau rata. Jika hal ini berlaku, ratakan permukaan dalaman tersebut secara manual menggunakan pahat kayu.

    Untuk bahagian penting yang seterusnya, rangka stand pengecas jam, ia memerlukan anda untuk memotongkan kayu kira-kira berkepanjangan 5” (bahagian berdiri) dan 2” (bahagian melintang di mana pengecas akan ditempatkan). Ketebalan kayu di sini akan ditetapkan dengan tebal ½” untuk kedua-dua bahagian.

    Bagi kayu berukuran 5” panjang, salah satu bahagian hujungnya akan dipotong dengan kedudukan 30 darjah dengan bahagian depan (di mana kayu 2” akan ditempatkan) lebih panjang daripada bahagian belakang (ruangan untuk menempatkan wayar pengecas jam). Dengan menggunakan teknik cantuman mortise dan tenon di sini, ia memerlukan awda untuk melorek bahagian tengah permukaan kayu rangka utama bagi mortise selain bahagian bawah kayu berukuran 5” panjang diukirkan bentuk tenon.

    Begitu juga untuk kayu berukuran 2”, pada bahagian kayu berdiri 30 darjah, akan dilorek dengan mortise dan bahagian kayu 2” pula tenon. Untuk bahagian ini, dengan mendapatkan diameter pengecas jam, lorek bahagian tersebut dengan kedalaman yang sama ukuran dengan pengecas.

    Selain menggunakan teknik mortise dan tenon, awda juga boleh menggunakan teknik mencantumkan menggunakan dowel atau skru. namun untuk seorang yang pentingkan kekemasan, teknik cantuman yang terbaik adalah mortise dan tenon yang mampu menyembunyikan sudut cantuman dan sangat kukuh.

    Siap mereka kesemua bahagian, cantumkan bahagian stand pengecas jam menggunakan gam kayu dan biarkannya mengering selama 24 jam. Setelah gam mengering, awda hanya perlu melorek kayu untuk laluan kabel pengecas jam bagi menyembunyikannya.

    Sementara untuk menetapkan kedudukan pengecas jam dan telefon bimbit, penggunaan pita pelekat dua muka sudah cukup memadai. Selain itu, penggunaan pelekat tersebut membolehkan awda untuk menanggalkannya dengan mudah ketika ingin menukarkannya suatu hari nanti.

    Langkah terakhir ialah menyapukan permukaan kayu menggunakan wood oil atau wax. Tujuan utamanya adalah bagi menimbulkan ira-ira yang terdapat pada permukaan kayu selain bagi melindungi permukaan daripada kelembapan atau serangga perosak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda