NEW YORK, 19 NOV – Syarikat rangkaian kopi Amerika Syarikat (AS), Starbucks dan gergasi runcit dalam talian Amazon kelmarin membuka sebuah kafe kopi di New York di mana pelanggannya boleh membuat pembelian tanpa memerlukan bantuan juruwang.
Terletak di Manhattan, kafe baharu tersebut menggunakan kaedah teknologi ‘Just Walk Out’ dari kedai membeli-belah Amazon Go, di mana pembelian akan direkodkan menggunakan sensor dan kamera.
Pelanggan sama ada mengambil minuman yang dipesan melalui aplikasi Starbuck atau mengakses kedai menggunakan kod Amazon.
Kedai runcit itu menawarkan beberapa barangan yang tersedia di kafe Starbucks (seperti sandwic sarapan pagi), gedung Amazon Go serta produk dari restoran tempatan.
Pasar mini, yang dibuka sehingga 10 malam pada Isnin hingga Jumaat, juga mempunyai ruang rehat serta ruang kerja peribadi dan meja lipat yang boleh dibesarkan berserta pangkalan USB.
Starbucks dan Amazon merancang untuk membuka dua lagi kafe pada tahun hadapan. Salah satu daripadanya akan ditempatkan di bangunan New York Times di Manhattan.
Sejak bermula pandemik, syarikat gergasi kopi itu terpaksa mencari jalan untuk menyediakan pengalaman tanpa sentuhan kepada pelanggan.
Pada Jun 2020, ketua Starbucks, Kevin Johnson mengumumkan sehingga 400 lokasi akan ditutup dalam tempoh 18 bulan akan datang dan menumpu kepada perkhidmatan bawa balik.
Pesanan bawa balik mencatatkan 80 peratus daripada keseluruhan transaksi di kafe Starbucks di AS. – AFP
