BEIJING – Apabila Starbucks datang ke China pada dua dekad yang lalu, ia berjanji untuk membuka sebuah kedai baharu setiap 15 jam.
Kini pesaingnya, Luckin Coffee, merancang untuk membina sebuah lagi kedai kopi yang didorong oleh teknologi tinggi khususnya dalam pembuatan kopi bagi mengatasi syarikat kopi gergasi AS itu.
Syarikat pemula China itu telah melabur berjuta-juta dolar untuk menarik pelanggan dengan diskaun yang sangat rendah sekali gus mencabar prestasi Starbucks sehingga menyasarkan pekerja pejabat dan pelajar yang inginkan kopi Java mereka untuk dihantar ke depan pintu mereka.
Walaupun Starbucks dan pesaingnya, British Costa Coffee menawarkan ruang santai yang selesa untuk orang ramai sambil melakukan kerja-kerja mereka atau berjumpa rakan-rakan, namun kebanyakan outlet Luckin Coffee lebih berkonsepkan ‘dapur penghantaran’. Kedai kopi tersebut tidak besar, tidak ada meja hanya ada kaunter meja yang diletakkan menu-menu minuman kopi malah semua pembayaran boleh dibuat dengan hanya menggunakan telefon bimbit.
Pendekatan yang dibuat oleh Luckin Coffee itu bermakna pengguna perlu membayar kira-kira satu pertiga harga untuk satu cawan berbanding jenama global yang lain. Kopi susu (Latte) bersaiz besar hanya berharga 31 yuan iaitu sekitar $5 di Starbucks, tetapi hanya 24 yuan sahaja di Luckin Coffee.


Pelanggan yang masuk ke kedai kopi ini hanya akan menghabiskan beberapa minit sahaja di mana mereka hanya akan datang mengimbas kod dan membayar kopi mereka yang telah dipesan terlebih dahulu melalui aplikasi telefon pintar syarikat tersebut.
“Saya sangat suka akan kemudahan, tidak perlu beratur panjang atau duduk bersendirian tatkala menunggu kopi anda siap,” kata Yu Qian, penganalisis kewangan di Beijing. “Kopi mereka agak sedikit manis sama seperti teh susu manis yang terkenal di China,” tambahnya.
Strategi agresif yang ditunjukkan oleh Luckin ini mencerminkan taktik yang digunakan oleh syarikat pemula China yang lain di mana mereka cuba untuk mencabar jenama dari Barat yang terkenal di seluruh dunia.
“Keuntungan besar bagi kita ialah memiliki kedai pesan dan ambil, sekali gus mengurangkan lagi kos sewa, di mana kita akan membayar jauh lebih rendah berbanding pesaing kita,” kata pegawai strategi Luckin, Reinout Schakel kepada AFP.
Selepas beberapa tahun dalam perniagaan, syarikat itu telah mengumumkan baru-baru ini beberapa perancangan untuk membuka sekitar 2,500 cawangan kedai itu menjelang akhir tahun ini. Sebagai perbandingan, Starbucks mempunyai kira-kira 3,600 outlet di seluruh negara itu.
Syarikat kopi dari AS itu mempunyai sekitar 80 peratus kepentingan dalam pasaran kopi di China iaitu sekitar $3.4 bilion, menurut penyelidikan Euromonitor. Tetapi Schakel melihat beberapa ruang untuk pertumbuhan.
Pengguna China hanya minum empat hingga lima cawan kopi setahun, berbanding kira-kira 300 cawan di Jepun atau Korea Selatan, di mana secara tradisinya mereka lebih cenderung untuk meminum teh, jelasnya.
Starbucks China merupakan pasaran paling pesat dan berkembang serta kedua terbesar selepas Amerika Syarikat. Lokasi ‘Roastery’ di Shanghai dibuka pada akhir tahun 2017 dan merupakan kedai yang terbesar di dunia.
Syarikat berpangkalan di Seattle itu bekerjasama dengan syarikat e-dagang, Alibaba di mana selepas itu diikuti oleh Luckin yang turut berkongsi platform pasaran yang sama pada bulan Julai.
“Perkhidmatan penghantaran kami pada hari ini merangkumi lebih daripada 2,000 kedai di seluruh 30 buah bandar dalam tempoh tiga bulan selepas pelancarannya,” kata Derek Ng, pengarah komunikasi untuk Starbucks China kepada AFP.
Strategi pemasaran
Persaingan telah mendorong Starbucks untuk memberikan tumpuan kepada pertanian kopi mereka yang menyimpan kopi-kopi yang mahal dan jarang ditemui dari seluruh dunia, kata Hu Yuwan, seorang penganalisis di Daxue Consulting di Shanghai. Namun kedai kopi tersebut juga mula memberikan diskaun, cuba menarik lagi lebih ramai pelanggan-pelanggan tempatan mereka sebagaimana persaingan diskaun antara Uber dan Didi Chuxing.
Schakel juga ketua pegawai kewangan Luckin berkata bahawa permulaan itu mampu memberikan persaingan hebat khususnya untuk merebut bahagian pasaran tempatan dalam beberapa tahun yang akan datang. “Adakah kita akan bersaing dengan Starbucks, mungkin kita tidak akan peduli sama ada permintaan itu datang dari penggemar kopi baharu atau dari penggemar kopi dari Starbucks,” jelasnya.
Ekspedisi kafein Luckin telah dibiayai oleh para pelabur termasuk Centurium Capital, dana ekuiti swasta yang diasaskan oleh bekas ketua China, Warburg Pincus dan GIC, dari Singapura.
Syarikat tersebut telah meraih keuntungan kira-kira $400 juta pada tahun lepas, menjadikannya syarikat kopi ternama pertama dari China. Schakel tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai desas-desus bahawa Luckin sedang mencari pelabur hebat bursa saham di Hong Kong. Tetapi landskap China sudah dipenuhi dengan permulaan yang baik selepas adanya diskaun dan iklan-iklan yang padu.
“Kebimbangan saya adalah mengenai laluan kami, tidak semestinya laluan kami akan sentiasa lurus,” kata Schakel. “Walaupun kami menjual produk kami dengan diskaun namun kami perlu berada di skala yang betul untuk meraih lagi keuntungan,” jelasnya. – AFP