BANGKOK, 2 NOV – Starbucks berkata hari ini ia merancang untuk membuka cawangannya di Laos ketika ia sudah pun melebarkan rangkaiannya ke lebih 10,000 kedai di negara-negara Asia.
Syarikat itu berkata ia merancang untuk membuka kedai di bandar Laos, Vientiane menjelang musim panas depan.
Cawangan itu akan dioperasi oleh Coffee Concepts (Laos) Ltd, sebahagian Maxim’s Caterers Ltd berpangkalan di Hong Kong.
Starbucks berkata dalam satu kenyataan yang ia berhasrat untuk menggunakan skala globalnya untuk mendapatkan impak positif dan peluang kerjaya di negara miskin yang bersempadan dengan Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan China itu.
“Kami gembira untuk memperkenalkan jenama Starbucks ke Laos, yang akan mengukuhkan lagi hubungan 20 tahun bersama Starbucks untuk mengembangkan industri kopi di seluruh Asia,” kata Pengerusi dan Pengarah Urusan, Maxim’s Caterers Limited, Michael Wu.
Ramai penduduk Laos minum minuman kopi serbuk yang mengandungi susu dan gula, yang sebetulnya adalah benar di seluruh Asia, namun negara dengan penduduk 7.2 juta itu merupakan pengeksport kopi dan memiliki kedai-kedai menjual dan memanggang kopi.
Sebelum pandemik koronavirus melanda, Laos menarik jumlah pelancong asing dengan lebih 4 juta berkunjung pada 2018. Hasil pendapatan tempatan telah meningkat namun masih di bawah purata sekitar AS$300 sebulan. – AP
