HONG KONG, 30 SEPT – Jenama minuman terkemuka, Starbucks, menjadi sasaran terkini bantahan prodemokrasi di Hong Kong selepas seorang anggota keluarga yang memiliki francais restoran itu menyelar penunjuk perasaan.
Banyak cawangan Starbucks dicemari dengan grafiti hujung minggu lalu ketika bandar raya itu berhadapan dengan beberapa pertempuran paling sengit antara penunjuk perasaan tegar dan polis pencegah rusuhan sejak beberapa minggu ini.
Salah satu kafe di daerah Wanchai diconteng dengan slogan ‘boikot’ selain penghinaan kepada polis dan Maxim’s Caterers, rangkaian restoran besar Hong Kong yang mengendalikan cawangan Starbucks di bandar raya itu.
Vandalisme itu menunjukkan tekanan besar ke atas jenama antarabangsa ketika Hong Kong digegarkan dengan ketegangan politik terburuk dalam masa beberapa dekad.
Beijing menambah tekanan ke atas perniagaan untuk mengecam bantahan itu secara terbuka. – AFP