NEW DELHI, 6 NOV – Maharashtra yang menempatkan hab kewangan Mumbai, India akan menjadi negeri pertama yang melancarkan perkhidmatan internet Starlink milik Elon Musk di negara paling ramai penduduk di dunia, kata ketua menteri.
Pelancaran Starlink, yang menyediakan internet berkelajuan tinggi ke lokasi terpencil menggunakan satelit orbit rendah, telah mencetuskan perdebatan sengit di India mengenai isu-isu daripada penetapan harga yang tidak munasabah hingga peruntukan spektrum.
India yang dijangka bakal mempunyai lebih daripada 900 juta pengguna internet menjelang akhir tahun telah memberikan lesen kepada Starlink pada bulan Jun.
Maharashtra telah, “bersedia untuk menjadi negeri India pertama yang secara rasmi bekerjasama dengan Starlink”, kata Ketua Menteri negeri itu, Devendra Fadnavis, di platform X lewat kelmarin.
“Kerjasama ini akan memastikan negeri itu menerajui India dalam infrastruktur digital yang diupayakan oleh satelit.”
Pada bulan Mac, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar India, Jio Platforms dan pesaingnya Bharti Airtel, mengumumkan perjanjian dengan SpaceX untuk menawarkan internet Starlink kepada pelanggan mereka.
Naib Presiden Operasi Perniagaan Starlink, Lauren Dreyer berkata beliau ‘teruja’ untuk memajukan visi digital India.
“Tidak sabar untuk menghubungkan sekolah, kemudahan perubatan dan kawasan yang paling terpencil dan tidak terhubung sebaik sahaja Starlink menerima kelulusan akhir”, kata Dreyer dalam satu kenyataan. – AFP


