LONDON, 10 FEB – Keir Starmer menggesa pemimpin dunia lain untuk menjalani ujian HIV selepas menjadi perdana menteri Britain pertama yang sedang berkhidmat dan pemimpin G7 pertama melakukan ujian secara terbuka di hadapan kamera.
Pejabatnya hari ini mengeluarkan rakaman pemimpin UK itu menjalani ujian pantas di rumah di Downing Street pada Jumaat, sebagai sokongan kepada inisiatif ujian HIV peringkat kebangsaan yang berlangsung selama seminggu.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menganggarkan kira-kira 4,700 orang di England hidup dengan HIV tanpa didiagnosis, dengan peningkatan ujian menjadi strategi utama untuk mengenal pasti mereka.
Pada Disember lalu, Starmer berjanji bahawa kerajaannya akan menamatkan kes baharu HIV di England menjelang 2030, dengan rancangan tindakan HIV baharu akan diterbitkan tahun ini bagi memperincikan langkah mencapai sasaran itu.
“Saya rasa tugas saya sekarang ialah bercakap dengan perdana menteri dan pemimpin di seluruh dunia dan berkata, awda juga patut melakukannya di negara awda,” katanya kepada akhbar Metro Britain, sejurus selepas menjalani ujian tersebut. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-1_11022025.jpg)