WASHINGTON, 24 OGOS – Syarikat SpaceX milik Elon Musk kini sedang bersiap sedia untuk ujian terbaharu bagi sebuah roket besar Starship hari ini, selepas beberapa siri kegagalan baru-baru ini yang mendorong sesetengah pemerhati mempersoalkan keberhasilannya.
Kenderaan pelancar yang berkuasa tinggi itu telah dijadualkan untuk berlepas dari pangkalan syarikat berkenaan di Starbase, selatan Texas pada jam 6:30 petang untuk penerbangan kali ke-10.
Misi kali ini bertujuan untuk menguji peringkat atas roket melalui beberapa percubaan semasa ia terbang separuh mengelilingi dunia sebelum mendarat di Lautan Hindi.
Berbeza dengan cubaan sebelum ini, SpaceX tidak akan mencuba menangkap bahagian pendorong menggunakan lengan gergasi menara pelancar yang dikenali sebagai ‘chopstick’.
Starship merupakan pusat kepada cita-cita Musk untuk menjajah Marikh, manakala NASA pula mengharapkan versi yang diubah suai dapat berfungsi sebagai pendarat bulan Artemis bagi menghantar rakyat Amerika Syarikat (AS) untuk kembali ke Bulan.
Namun, ketiga-tiga ujian penerbangan setakat tahun 2025 berakhir dengan letupan peringkat atas dua kali meletup di ruang udara Kepulauan Caribbean dan sekali selepas mencapai angkasa. Pada Jun lalu, satu lagi peringkat atas meletup di darat ketika ujian ‘static fire’.
Dallas Kasaboski, penganalisis angkasa di firma perunding Analysys Mason, memberitahu AFP, kegagalan terkini mula menjejaskan reputasi cemerlang SpaceX.
Musk mempertaruhkan masa depan syarikatnya pada Starship, dengan rancangan untuk akhirnya menamatkan generasi roket dan kapal angkasa sedia ada demi sistem baharu itu. – AFP


