BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Bagi membantu para pelajar Universiti
Brunei Darussalam yang tidak mempunyai akses kepada komputer dan kemudahan internet di rumah, State Street Sdn Bhd telah menyumbangkan 10 unit komputer riba, baru-baru ini.
Selain komputer riba, State Street juga menyediakan pakej-pakej data Progresif bagi para pelajar yang memerlukan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan kepada UBD oleh Ketua Negara State Street, Edmund Teo.
UBD dalam kenyataan itu menjelaskan bahawa komputer riba berkenan akan membantu memudahkan pembelajaran pelajar dan untuk menyokong penilaian dan peperiksaan dalam talian yang sedang berjalan.
Sehubungan itu, UBD menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kemurahan hati syarikat berkenaan dalam menyokong kesinambungan pendidikan para pelajar.
Dalam mengutamakan kesihatan dan keselamatan para pelajar, kakitangan dan komunitinya, UBD telah memutuskan bahawa semua penilaian yang memerlukan pelajar hadir di kampus akan diganti dengan penilaian alternatif untuk menilai hasil pembelajaran program yang termasuk pelbagai kerja kursus dan peperiksaan dalam talian.
Kenyataan menjelaskan bahawa dalam usaha membendung penularan COVID-19, UBD telah memperkenalkan kelas-kelas dalam talian sepenuhnya bagi para pelajar dan sumbangan telah mencurah-curah sejak inisiatif berkenaan bermula pada 12 Mac lalu.
Alumni UBD di samping penderma-penderma korporat dan individu, yang kebanyakannya rakan-rakan UBD, sebelum ini telah menyumbang kepada Dana Pembiayaan UBD untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga kurang bernasib baik yang sedang berdepan cabaran-cabaran pendidikan dalam talian.
Dana berkenaan telah digunakan untuk menyediakan subsidi bagi tambah nilai data dan kad-kad SIM bagi sambungan internet mudah alih terutamanya untuk mereka yang tidak mempunyai sambungan tetap di rumah.