Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Statistik berkualiti penting pacu pembangunan negara

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Statistik yang berkualiti, tepat dan boleh dipercayai amat penting dalam memacu kemajuan Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai wawasan 2035.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin semasa merasmikan sambutan Hari Statistik Sedunia 2025 yang berlangsung di MOFE, hari ini.

    Dalam ucapannya, Dr Hajah May Fa’ezah menegaskan tiga keutamaan dalam memperkukuh ekosistem data negara, iaitu meningkatkan kualiti data pentadbiran melalui penyelarasan yang lebih baik, mempercepatkan pendigitalan serta penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan memperkasa keupayaan pegawai dalam bidang data di seluruh sektor kerajaan.

    Usaha-usaha berkenaan, jelasnya, penting bagi memastikan statistik negara kekal relevan, berwibawa dan dapat menyokong perancangan dasar yang berkesan demi pembangunan negara.

    Beliau turut menekankan bagi mencapai hasil yang bermakna di bawah Wawasan Brunei 2035, dasar-dasar negara perlu dipandu oleh data yang boleh dipercayai, dengan memupuk budaya berasaskan data serta mengadaptasi inovasi digital dalam pelbagai sektor.

     

    Dr Hajah May Fa’ezah hadir pada acara itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Sesi panel interaktif pada acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Hari Statistik Sedunia yang diraikan di peringkat antarabangsa setiap lima tahun merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan statistik yang boleh dipercayai dan dikeluarkan tepat pada masanya dalam menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti.

    Tema kebangsaan tahun ini, Ke Arah Wawasan Brunei 2035 dengan Statistik yang Berkualiti, mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh ekosistem data negara seiring dengan kemajuan sosioekonomi menuju aspirasi jangka panjang negara.

    Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Hajah Heidi Farah Sia Rahman dalam ucapan alu-aluannya menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran statistik serta mengiktiraf peranan penting pegawai statistik dan pembekal data daripada pelbagai agensi kerajaan dalam membina ekosistem data negara yang kukuh.

    Beliau turut menyatakan sesi dialog ini bertujuan memperkukuh komunikasi statistik, di mana pegawai digalakkan bukan sahaja menghasilkan data, tetapi juga menyampaikan dapatan statistik dengan jelas agar dapat difahami dan dimanfaatkan dalam perancangan dasar serta meningkatkan kesedaran masyarakat.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad; Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), MOFE, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; serta pegawai kanan dari Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) serta wakil sektor awam dan swasta.

    Acara diteruskan dengan sesi panel interaktif yang menghimpunkan pandangan daripada pengeluar dan pengguna data melibatkan wakil Jabatan Perangkaan (DOS), BDCB, CSPS, JPES dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda