Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Dalam tiga tahun kebelakangan ini, statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menunjukkan panggilan mengenai insiden kebakaran rumah dan bangunan telah meningkat.
Statistik juga menunjukkan bahawa tiga bulan pertama tahun ini, panggilan kebakaran bangunan meningkat sebanyak 12 panggilan berbanding tempoh sama tahun lalu manakala itu, panggilan kebakaran rumah meningkat sebanyak empat panggilan bagi tempoh sama.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mengabaikan atau lalai mengenai aspek keselamatan kebakaran sama ada di rumah mahu pun di tempat-tempat premis perniagaan terutamanya semasa menjelang Hari Raya.
Peringatan ini dibuat oleh Pemangku Penolong Pengarah Teknikal dan Ketua Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Nohi Irwan Surkarki bin Pawi semasa sidang media bersepadu yang melibatkan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) di Bilik Mesyuarat, Dewan Serba Guna JBP, semalam,
Mewakili JPE semasa sidang media itu ialah Ketua Bahagian Perancangan dan Perkhidmatan Korporat, Dayang Siti Kadzijjah binti Abdul Latif dan BSM diwakili oleh LPG Operational Excellence, Haji Shahruddin bin Haji Abdul Wahid.

Awang Nohi Irwan Surkarki menekankan bahawa rumah atau premis yang dilengkapi dengan peralatan pencegah kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api, alat pengesan asap yang berfungsi menunjukkan kesan yang jauh berbeza daripada rumah-rumah dan bangunan yang langsung tidak dilengkapi dengan peralatan pencegah kebakaran yang mana ia lebih berisiko tinggi kepada bahaya kebakaran.
Adalah sangat mustahak untuk mengetahui akan aspek keselamatan kebakaran kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kerugian dengan mempunyai pelan tindakan keselamatan kebakaran yang mengandungi tatacara tindakan jika berlaku kebakaran dan keluar menyelamatkan diri.
Menurut rekod JBP, punca-punca kebakaran rumah dan bangunan dipercayai akibat daripada litar pintas, lebih beban, penyambungan longgar, pendawaian usang yang melibatkan peralatan elektrik seperti penyambungan mudah alih, meter pra bayar, papan pembahagi (ELCB), papan perkhidmatan, lampu kalimantang, kapasitor penghawa dingin dan pemutus litar pintas.
Punca lainnya adalah masakan yang ditinggalkan, perunan yang ditinggalkan, saluran hos gas LPG longgar atau bocor, kanak-kanak bermain api, api puntung rokok dan api lilin yang ditinggalkan.
Melihat kepada punca-punca kebakaran berkenaan dapat disimpulkan bahawa punca utama kebakaran rumah dan bangunan adalah kerana kecuaian dan kelalaian manusia serta kurangnya pengetahuan menggunakan peralatan elektrik.
Langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah juga dikongsikan semasa sidang media berkenaan, yang termasuk melakukan senarai semak terutama peralatan elektrik, memastikan mana-mana peralatan elektrik yang tidak diperlukan dimatikan seperti lampu, alat penghawa dingin, kipas angin, exhaust fan, televisyen dan yang lainnya sebelum meninggalkan rumah.
Jika meninggalkan rumah dengan lampu menyala terlalu lama yang boleh mengakibatkan kepanasan yang berlebihan dan tutup injap atau cabut kepala gas jika tidak digunakan.
Jika membuat perjalanan jauh, cabut kepala gas dan kuncikan tempat penyimpan tong gas atau simpan tong gas di tempat yang selamat di dalam rumah bagi mengelakkan sebarang kecurian.
Selain itu, maklumkan kepada jiran yang terdekat jika meninggalkan rumah untuk sekian lamanya dan jangan tinggalkan warga emas, orang berkeperluan khas dan anak-anak damit semasa berpergian.
Sementara itu, antara langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya terjadi kebocoran gas adalah dengan tutup injap kepala gas, menutup semua peralatan memasak dan gas dan sekiranya kebocoran di dalam rumah, buka pintu dan tingkap untuk menambah pengaliran udara serta jangan sesekali membuka atau menutup suis elektrik.
Terdapat satu kaedah mudah untuk memeriksa sistem LPG untuk memastikan tiada kebocoran gas iaitu dengan menggunakan air sabun dan lumurkan pada setiap penyambungan dan sepanjang hos LPG. Air sabun akan mengeluarkan buih jika sekiranya terdapat sebarang kebocoran.
Pihak BSM juga menasihati agar para pengguna menggunakan penyambungan satu tong gas untuk satu alat memasak sahaja kerana penyambungan yang berlebihan berpotensi untuk menyebabkan kebocoran pada tempat-tempat penyambungan.
JPE pula menasihatkan orang ramai agar membuat pemeriksaan dan pengujian ke atas pendawaian di premis persendirian dan perniagaan iaitu setiap 10 tahun bagi premis persendirian manakala itu, setiap lima tahun bagi premis perniagaan dan sebarang kerja-kerja pengubah suaian atau tambahan ke atas pendawaian di premis persendirian atau perniagaan mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pengarah perkhidmatan elektrik dan kerja-kerja pendawaian tersebut hendaklah dibuat oleh kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan jabatan.
Keperluan bagi pemeriksaan, pengujian dan kerja-kerja pendawaian tersebut dibuat oleh kontraktor yang berdaftar dengan jabatan bagi memastikan keselamatan pendawaian, penghuni serta harta benda di premis tersebut selaras dengan keperluan Akta Elektrik Penggal 71 dan Electrical Installation Requirement 2011. Senarai kontraktor yang berdaftar dan Electrical Installation Requirement (EIR) boleh diperolehi dari laman sesawang jabatan www.des.gov.bn.