Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Statistik kesalahan individu menurun

    Oleh James Kon

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Pembuangan sampah di tempat-tempat awam oleh orang ramai sedang menurun, sementara itu, jumlah syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan ini meningkat dengan mendadak.

    Pada 2017, Unit Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) telah merekodkan 56 kes pembuangan sampah di tempat-tempat awam melibatkan 12 individu dan 44 buah syarikat.

    Sementara itu, pada 2016, unit berkenaan merekodkan 117 kes yang melibatkan 76 individu dan 41 buah syarikat. Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30, Seksyen 12 untuk membuang sampah di tempat-tempat awam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan berkenaan, usaha berterusan dalam mempromosikan kesedaran oleh Unit Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran BSB adalah salah satu sebab utama bagi penurunan jumlah kes tersebut.

    Menerusi pelbagai kempen dan operasi, kesedaran awam mengenai Akta Kesalahan-kesalahan Kecil telah meningkat. Ini dapat terbukti daripada penurunan drastik dalam kes-kes individu pada 2017 berbanding 2016, tambah kenyataan itu.

    Memandangkan alam sekitar dan kemudahan yang disediakan kerajaan dikongsi orang awam, semua orang patut bertanggungjawab menjaganya. Kebersihan mestilah bermula dari rumah, tekan jabatan berkenaan.

    Jabatan Bandaran BSB juga mengingatkan semula bahawa di bawah akta berkenaan, mana-mana orang atau syarikat didapati bersalah membuang sampah di tempat awam akan dikenakan denda kompaun tidak melebihi $500.

    Jika gagal membayar denda, perkara berkenaan akan dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, denda $1,000 akan dikenakan atau sebulan penjara bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan-kesalahan seterusnya, mereka akan dikenakan denda $3,000 atau sehingga tiga bulan penjara.

    Unit penguatkuasaan berkenaan pada masa ini sedang aktif mendakwa pesalah yang tidak membayar kompaun.

    Dalam pada itu, Unit Penguatkuasaan Undang-undang berkenaan, baru-baru ini, telah mengenakan denda kompaun kAe atas dua buah syarikat kerana membuang sampah di tempat awam.

    Kedua-dua syarikat yang beroperasi di kawasan Serusop berkenaan masing-masing dikenakan denda $500 dan $200.

    Unit berkenaan menyatakan bahawa ia akan sentiasa mengawasi dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan orang ramai dan para peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah akta berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda