Status Hagia Sophia diketahui 15 hari lagi

ISTANBUL, 3 JULAI – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini menolak kritikan berhubung persetujuannya untuk mengubah bangunan bersejarah Hagia Sophia di Istanbul kepada sebuah masjid meskipun kebimbangan antarabangsa dan tempatan.

“Dakwaan ke atas negara kami berhubung Hagia Sophia merupakan satu serangan ke atas hak kedaulatan kami,” kata Erdogan.

Mahkamah tertinggi Turki sedang menimbang sama ada tapak dan bekas katedral itu boleh ditetapkan semula sebagai sebuah masjid, mendorong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo menggesa Turki supaya mengekalkan tapak itu dalam statusnya sekarang sebagai muzium.

Majlis negara bersidang semalam untuk menilai kes yang dikemukakan oleh sebuah persatuan untuk menukar status muzium berkenaan. Mahkamah, dikenali sebagai Danistay dalam bahasa Turki, mesti mengumumkan keputusannya dalam masa 15 hari.

Hagia Sophia pertama dibina sebagai katedral dalam Empayar Kristian Byzantine pada abad keenam tetapi diubah menjadi sebuah masjid selepas penaklukan Constantinople oleh Ottoman pada 1453.

Mengubahnya menjadi sebuah muzium merupakan kunci pembaharuan pihak berkuasa selepas Ottoman di bawah pengasas republik moden Mustafa Kemal Ataturk.

Erdogan berkata pada tahun lalu adalah ‘satu kesilapan amat besar’ untuk mengubah Hagia Sophia kepada sebuah muzium. – AFP