Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Produk makanan Chicken Sisig with Calamansi keluaran Purefoods-Hormel Company, Inc. Philippines diarahkan untuk mengasingkannya segera, selepas status halalnya didapati diragui.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), arahan tersebut dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dilakukan berikutan aduan diterima terhadap produk berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati produk tersebut disahkan mengandungi daging ayam yang sumber serta status halalnya adalah diragui, memandangkan produk tersebut tidak mempunyai pengiktirafan halal dari mana-mana Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf.
Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang menjual produk berkenaan dinasihatkan supaya segera mengasingkan dan tidak mempamerkannya di ruangan jualan yang terdedah kepada orang awam, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini.
Kementerian turut mengingatkan semua pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk makanan serta barang gunaan agar sentiasa berwaspada dan memastikan produk halal dan suci tidak diletakkan bersama dengan produk yang tidak halal.
Langkah ini penting bagi mengelakkan masyarakat Islam daripada terjebak menggunakan produk yang tidak halal.
Dalam kenyataan yang sama, KHEU merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan serta maklumat yang disalurkan berhubung perkara tersebut.
Orang ramai yang ingin membuat aduan atau berkongsi maklumat mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka boleh menghubungi BKMH, JHES melalui talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.


