Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Status OKU tidak halang dalami Al-Quran

    NILAI, 11 DIS – Meskipun mengalami kesukaran mempelajari ilmu Al-Quran secara normal, ia tidak mematahkan semangat Azizah Saari, 41, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan untuk mendalami dan khatam kitab suci itu.

    Berpegang kepada prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Azizah mencari peluang mempelajari bacaan al-Quran secara bahasa isyarat daripada kelas anjuran Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Faqeh) yang diketahuinya menerusi media sosial ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas.

    “Saya bermula pada Ramadan 2020, dapat tahu ada program tadarus tanpa suara dan terus sertai, ia pengalaman pertama dalam hidup, sebelum ini saya hanya mengingati huruf sahaja. Semasa sekolah, guru ajar guna suara tapi saya tak dapat ikut, sekarang dah dua kali khatam lepas sertai kelas.

    “Jadi bila masuk kelas tu, saya seronok dan suka Quran, peringkat awal saya hanya kenal huruf dan sekarang sudah boleh baca betul. Selama ini saya cari kelas seperti ini tapi tak jumpa, Alhamdulillah, masih belum terlambat untuk belajar,” katanya yang dibantu seorang jurubahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pemberita selepas Majlis Khatam Quran OKU di sini hari ini.

    Azizah yang bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang memaklumkan beliau mempelajari al-Quran menggunakan kod tangan Quran iaitu hanya perlu mengingatinya melalui huruf sahaja tanpa dibaca melalui tanda baris dengan dibantu tenaga pengajar atau dikenali sebagai ‘dai pekak’ yang berpengalaman. – Bernama

    Azizah Saari menggunakan pengisyaratan huruf-huruf Quran dengan Kod Tangan Quran pada majlis Khatam Quran OKU di Kompleks Tuanku Muhriz USIM, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda