Status PKP diketahui esok

KUALA LUMPUR, 8 APRIL – Status arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada dilanjutkan atau ditamatkan bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam ini selepas ia dilaksanakan sejak 18 Mac lalu mengekang penularan pandemik COVID-19.

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelusuk tanah air.

Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa kes COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, situasi COVID-19 di negara ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini seramai 166 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 156 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 4,119 kes.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 1,487 iaitu sebanyak 36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 65 kematian akibat COVID-19 setakat ini.

Katanya, sehingga kini, seramai 76 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama