Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bersama Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB), baru-baru ini, buat pertama kalinya telah memperkenalkan penyatuan jenama, Singapore – Passion Made Possible, bagi memasarkan bidang pelancongan dan perniagaan Singapura di peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, majlis pengenalan jenama ‘Passion Made Possible’ kepada agensi-agensi pelancongan tempatan di negara ini telah diadakan hari ini di Bilik VIP, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun.
Menghadiri majlis itu ialah Eksekutif Kanan STB, Shahrizan Ihsan, wakil agensi-agensi pelancongan serta para pengamal media tempatan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi taklimat mengenai ‘Passion Made Possible’ yang disampaikan oleh Pengarah Negeri Malaysia dan Brunei STB, Dawn Ng.
Dalam taklimat itu, beliau menjelaskan bahawa ‘Passion Made Possible’ adalah sebuah jenama bersatu yang menunjukkan Singapura sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai budaya berbeza yang menampilkan sikap-sikap dan mindset yang unik.
Dengan ini, ia diharap akan dapat menarik lagi perhatian para pelancong dan pengembara serta para pengusaha di luar negara untuk menjadikan Singapura sebagai destinasi pelancongan dan sebuah negara pelaburan.
Menurut kenyataan yang diberikan, penyatuan jenama yang pertama ini merupakan satu langkah berani untuk mengetengahkan semangat dan minda rakyat Singapura yang unik dengan amalan bekerja bersungguh-sungguh tanpa menyerah kalah dan sentiasa inovatif demi menuju ke arah kemajuan.


Sepanjang lima dekad yang lalu, Singapura telah membina reputasi kukuh sebagai pusat perniagaan dan pelancongan global dan diiktiraf kerana memiliki prasarana, sistem keselamatan, kestabilan, tahap penghubungan dan akses yang bermutu.
Walau bagaimanapun, persaingan di peringkat global untuk menarik pelancong dan pelaburan telah meningkat dan landskap media kini menjadi semakin sesak dan kompleks. Pada masa yang sama, para pelancong kini lebih memilih dan mahu mendalami budaya dan membina hubungan yang lebih mendalam dengan destinasi yang dikunjungi.
Perniagaan antarabangsa pula mahu mencipta penyelesaian baharu yang mampu membawa perubahan.
Oleh itu, penyatuan jenama berkenaan bertujuan menyampaikan saranan nilai negara bagi memenuhi keperluan baharu para pelancong dan syarikat serta membantu Singapura untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
Dalam membangunkan penyatuan jenama ini, menurut kenyataan itu lagi, STB dan EDB telah melancarkan tinjauan kualitatif dan kuantitatif melibatkan hampir 4,500 orang responden yang terdiri daripada para penduduk, penggiat industri serta warga antarabangsa di Singapura dan di 10 buah negara lain untuk mengetahui nilai sebenar Singapura.
Para responden menyatakan bahawa tema ‘passion’ dan ‘possibilities’ mencerminkan semangat Singapura, dalam masa yang sama ‘possible’ dikaitkan kepada Singapura sebagai sebuah destinasi, manakala ‘passion’ adalah pemacu kepada segala kemungkinan ini.
‘Passion Made Possible’ diolah untuk menonjolkan semangat negara yang menjadi daya tarikan serta ingatan untuk warga dunia tatkala memilih Singapura sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Tema ‘passion’ dan ‘possibilities’ yang wujud dalam lipatan sejarah Singapura serta tertanam dalam pembawaan negara serta pengalaman yang dilalui oleh rakyatnya menjadikan Passion Made Possible sebagai bukti dan kesungguhan Singapura untuk mencapai impian dan mewujudkan kemungkinan yang baharu.
Melalui penampilan semangat kenegaraan, jenama berkenaan akan berhubung secara terus kepada warga serta penduduk Singapura bagi membina daya tarikan dan hubungan.
Bagi bakal pelancong dan ahli perniagaan, jenama ini membantu meningkatkan daya ingatan untuk memilih Singapura sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.