Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Stellantis hentikan pembinaan kilang bateri Kanada

    OTTAWA, 16 MEI – Pengeluar automobil, Stellantis kelmarin menghentikan pembinaan kilang bateri di Kanada bagi kenderaan elektrik (EV), dengan mengatakan kerajaan persekutuan tidak menepati inisiatif yang dijanjikan.

    Stellantis dan syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, LG Energy Solution telah mengumumkan perjanjian yang ditunggu-tunggu pada Mac 2022 untuk membina sebuah kilang di Windsor, Ontario.

    Usaha sama bernilai AS$4 bilion untuk membekalkan bateri EV bagi sebahagian besar pasaran Amerika Utara dimeterai oleh Ottawa sebagai pelaburan terbesar dalam sektor automobil negara itu.

    “Setakat hari ini, kerajaan Kanada tidak menunaikan apa yang telah dipersetujui. Sehubungan itu, Stellantis dan LG Energy Solution akan melaksanakan pelan kontingensi,” menurut e-mel yang dihantar oleh syarikat berkenaan kepada AFP.

    “Berkuat kuasa serta-merta, semua pembinaan berkaitan dengan penghasilan modul bateri di tapak Windsor telah dihentikan,” tambahnya.

    Setakat Isnin, sebahagian besar pembinaan telah siap.

    Kerajaan berkata rundingan dengan Stellantis dan LGES sedang berjalan.

    “Kami sangat mendukung pelaburan ini dan saya yakin bahawa kita akan mencapai perjanjian,” kata Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland kepada wartawan di Ottawa. – AFP

    Gambar fail menunjukkan sebuah kenderaan elektrik dicas di stesen pengecasan. Stellantis menghentikan pembinaan kilang bateri di Kanada kerana kerajaan persekutuan tidak menepati inisiatif yang dijanjikan. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -