Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stellantis kurangkan 1,100 pekerja di Ohio

    PARIS, 8 NOV – Kumpulan automotif Eropah, Stellantis mengumumkan kelmarin bahawa ia akan memberhentikan 1,100 pekerja di kilang Jeep Toledo, Ohio, dalam usaha untuk ‘mengembalikan daya saing’ syarikat yang kini bergelut dengan jualan yang lembap.

    Stellantis, yang merangkumi 14 jenama termasuk Peugeot, Fiat dan Chrysler, berkata ia akan mengubah operasi di kilang pemasangan Toledo Selatan kepada satu syif berbanding dua syif pada tahun 2025.

    Selain itu, seramai 400 pekerja lagi akan dipindahkan ke ‘penyedia perkhidmatan pihak ketiga,’ menurut kenyataan syarikat.

    “Kami sedar ini adalah langkah yang sukar, tetapi ia perlu diambil untuk membolehkan syarikat mengembalikan daya saingnya dan akhirnya kembali ke tahap pengeluaran yang lebih tinggi,” kata Stellantis dalam kenyataan tersebut.

    Jualan Stellantis merosot pada suku ketiga, dengan penurunan sebanyak 42 peratus di Amerika Utara sahaja.

    Syarikat itu turut menawarkan tawaran promosi bagi membantu pengedar di AS yang bergelut untuk mengurangkan inventori mereka.

    “Ketika Stellantis menghadapi tahun peralihan ini, fokus utama adalah untuk menyusun semula operasi di AS bagi memastikan permulaan yang kuat pada 2025, termasuk mengambil tindakan yang sukar tetapi perlu untuk mengurangkan tahap inventori yang tinggi dengan menguruskan pengeluaran mengikut jualan,” tambah kenyataan itu. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda