SAN FRANCISCO, 31 Julai – Bintang NBA, Stephen Curry yang menjadi pemain tumpuan selepas membawa Golden State Warriors merangkul tiga gelaran dalam empat musim akan beraksi dalam kejohanan golf pro untuk tahun kedua berturut-turut.
Pemegang gelaran Pemain Paling Bernilai NBA sebanyak dua kali itu akan bersaing dalam Kejohanan Jelajah Web.com Ellie Mae Classic pada 9 hingga 12 Ogos di TPC Stonebrae.
Curry membuat penampilan pertama dalam tahap perkembangan golf, selangkah di bawah Jelajah PGA, pada edisi tahun lepas, mencatat empat di atas par 74 sekali gus menjadi tumpuan peminat yang membanjiri kejohanan itu.
Curry akan mengekalkan status amaturnya dalam acara tersebut dan akan bersaing dalam pengecualian penajaan.
“Kami teruja,” kata pengarah kejohanan, Trish Gregovich. “Penampilan pertamanya pada 2017 merupakan satu kejayaan yang menakjubkan bagi acara ini dan menarik lebih ramai peminat golf baharu ke Jelajah Web.com.
“Stephen merupakan contoh kepada generasi muda seluruh dunia dan berperanan penting dalam komuniti Bay Area, dan kami berbesar hati melihat beliau beraksi bersama beberapa bintang yang sedang meningkat naik pada 2018.”
Pemain berusia 30 tahun itu membantu Warriors menjuarai NBA pada 2015, 2017 dan bulan lepas sekali gus dinobatkan sebagai pendahulu penjaring tiga mata sepanjang masa.
“Para pemain di Jelajah Web.com menyambut saya dengan tangan terbuka pada 2017, dan ia merupakan pengalaman yang menarik beraksi dengan bakal bintang Jelajah PGA di TPC Stonebrae,” kata Curry. – AFP