LONDON, 2 JULAI – England perlu berterima kasih kepada Raheem Sterling kerana membawa pasukannya ke Rom Ahad ini bagi saingan suku akhir Euro 2020 berdepan Ukraine dan mereka sekarang adalah pasukan pilihan untuk mara ke final Kejohanan Eropah buat kali pertama.
Bintang Manchester City itu sudah beraksi dalam kejohanan utama keempat baginya, namun bakatnya tidak sepenuhnya dihargai penyokong England.
Pemain muda yang beraksi ketika England tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2014, Sterling adalah seorang daripada pemain yang merasai kekecewaan ketika skuad kendalian Roy Hodgson tersingkir pada Euro 2016 di tangan Iceland.
Di media sosial, Sterling melabelkan dirinya sebagai ‘Orang Yang Dibenci’ ketika kejohanan berkenaan dan berdepan cerita negatif di akhbar mengenai gaya hidup mewahnya serta isu lain.
Dia tidak melupakan apa dirasainya. Pada 2018, sebulan selepas membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia walaupun gagal menjaringkan gol, Sterling menerima cemuhan perkauman ketika bermain buat Manchester City di Chelsea.
Sterling menerusi Instagram mencabar organisasi media kerana gambaran mereka terhadap pemain muda berkulit hitam sambil mendakwa ia dipenuhi ‘perkauman dan perlakuan agresif’.
Pada usia 26 tahun, dia kini sudah bergelar pemain senior dalam kalangan skuad muda England dengan 65 kaps yang mewakili skuad berani dan sedar mengenai aspek sosial yang menjadikan skuad Gareth Southgate dihormati dalam dan luar padang.
Ketika berdepan ejekan daripada sebahagian penyokong sendiri, pemain England terus melutut sebelum setiap perlawanan dalam kejohanan berkenaan untuk memperlihatkan peperangan mereka menentang ketidakadilan kaum.
Sterling sentiasa menggunakan kritikan sebagai motivasi bagi membuktikan ia sebenarnya salah. – AFP