LONDON, 26 SEPT – Raheem Sterling berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dan Jack Porter mencipta sejarah sebagai pemain termuda pernah diturunkan dalam sejarah kelab itu ketika menewaskan Bolton 5-1 dalam aksi Piala Liga (EFL) di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Sterling, 29, yang membuat penampilan pertama bersama skuad Arsenal selepas perpindahannya dari Chelsea, menjaringkan gol pada separuh masa kedua, memberikan keyakinan bahawa kariernya akan kembali gemilang selepas mengalami tempoh yang kurang memberangsangkan di Chelsea.
“Dia cemerlang. Dia mula menunjukkan potensi sebenarnya. Dari segi fizikal, masih ada ruang untuk mencapai tahap yang diperlukan, tetapi ini adalah langkah besar hari ini,” kata Pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Arteta turut melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama selepas perlawanan sengit liga menentang Manchester City. Antara perubahan adalah memberi peluang debut kepada penjaga gol muda, Jack Porter, yang menggantikan David Raya yang mengalami kecederaan.
Porter, yang berusia 16 tahun 72 hari, melakar sejarah sebagai pemain termuda pernah memulakan perlawanan untuk Arsenal, memecahkan rekod sebelumnya yang dipegang oleh Cesc Fabregas pada usia 16 tahun 177 hari ketika menentang Rotherham pada 2003.
Porter turut menjadi pemain kedua termuda dalam sejarah kelab secara keseluruhan selepas Ethan Nwaneri yang membuat penampilan pada usia 15 tahun.
“Jack telah bersama kami sejak pramusim. Dia memberikan reaksi yang matang dan bermain dengan penuh keyakinan. Satu pengalaman berharga buatnya,” tambah Arteta. – AFP