THAILAND, 20 JAN – Thailand hari ini memasuki era baharu perjalanan kereta api ketika stesen terbesar di Asia Tenggara itu secara rasmi memulakan operasinya.
Pihak kerajaan berkata pembangunan yang rancak dan moden di pinggir Bangkok akan mengukuhkan posisi negara itu sebagai pusat wilayah dan meningkatkan ekonomi negara.
Ia secara rasmi dikenali sebagai Pusat Terminal Krung Thep Aphiwat, nama yang dianugerahkan oleh raja. Namun kebanyakan orang lebih cenderung mengenalinya sebagai Stesen Bang Sue kerana lokasinya.
Kos pembinaan terminal baharu itu, termasuk stesen, landasan kereta api yang ditinggikan dan stesen penghubung untuk sistem transit Bangkok, menelan belanja kira-kira AS$1 bilion, menurut Takun Indarachome, pengarah operasi trafik bagi Laluan Kereta Api Negara, Thailand.
Hampir kesemua perkhidmatan kereta api jarak jauh domestik dan antarabangsa akan melalui terminal baharu tersebut, yang kerja-kerja pembinaannya bermula 10 tahun lalu.
Kereta api pertama yang bergerak keluar dari stesen itu membuat perjalanan ke Sungai Kolok, di sempadan selatan Thailand dengan Malaysia.
Walau bagaimanapun ramai penduduk Thailand mengeluh tentang pemindahan terminal sebelumnya, Stesen Hua Lamphong di tepi Chinatown Bangkok di tengah ibu negara.
Stesen klasik itu, yang mempunyai bilik menunggu yang tinggi, telah menempatkan berbagai-bagai jenis pengembara, dari pekerja luar bandar yang ingin mencari pekerjaan di bandar hingga pelancong backpacker yang menuju ke selatan untuk bersantai di pantai resort.
Beberapa buah landasan – yang beroperasi secara tempatan dan menuju ke timur – akan masih menggunakan laluan lama dan lebih berpusat.
Untuk sementara waktu, sekurang-kurangnya 62 buah kereta api akan menggunakannya setiap hari. – AP