Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stesen minyak ditutup sementara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Beberapa buah stesen minyak di keempat-empat daerah dijadualkan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi September 2024.

    Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan akan dilaksanakan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.

    Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan.

    Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya mengambil masa kira-kira dua jam.

    Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.

    Sehubungan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan bagi September 2024 dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi bagi Daerah Brunei dan Muara adalah pada 4 September di Stesen Minyak Tumasek, Kampung Tumasek, 5 September di Stesen Minyak Mar’azmala, Kampung Jerudong dan 7 September di Stesen Minyak Berakas, Jalan Pasir Berakas; bagi Daerah Belait pada 11 September di Stesen Minyak Syarikat Perniagaan Melayu Sdn Bhd Belait, Jalan Panglima; bagi Daerah Tutong pada 17 September di Stesen Minyak Kampung Keriam (PAKATAN TUTONG), Kampung Keriam serta Daerah Temburong pada 25 September di Stesen Minyak Batang Duri, Kampung Semamang.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda