Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Beberapa buah stesen minyak di keempat-empat daerah dijadualkan akan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi November 2024.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Sehubungan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi Daerah Brunei dan Muara pada 5 November di Stesen Minyak Persatuan TIBA (KOTIBA), Kampung Salambigar, 6 November di Stesen Minyak Gadong, Pengkalan Gadong, 7 November di Stesen Minyak IBA, Kampung Lambak, 9 November di Stesen Minyak Pekan Muara di Pekan Muara, 11 November di Stesen Minyak Hajah Badariah dan Anak-Anak, Kampung Katok, 13 November di Stesen Minyak Koperasi Usahajaya Pekira Bhd, Kampung Jangsak dan 16 November di Stesen Minyak Shahryza, Kampung Bunut.
Sementara itu, bagi Daerah Belait pada 14 November di Stesen Minyak Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu, Seria dan pada 19 November di Stesen Minyak Roxana, Jalan Tengah, Seria. Manakala bagi Daerah Tutong pada 19 November di Stesen Minyak KODRAT Berhad (Koperasi Dataran Gong Tiga) dan pada 20 November di Stesen Minyak Perusahaan Cahaya Pakatan Berhad serta bagi Daerah Temburong pada 21 November di Stesen Minyak Negalang Maju Sdn Bhd, Kampung Negalang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian, 2334092.