KAPIT, 5 NOV – Sebuah stesen minyak berkonsepkan portable container system (PCS) atau kontena mudah alih akan dibina di Simpang 4, Kampung Sawang, Jalan Lepong Balleh kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kapit.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata projek yang diusahakan oleh Koperasi Sungai Kapit Berhad (KSKB) ini merupakan stesen minyak PCS kedua milik koperasi di Sarawak.
Stesen minyak PCS pertama terletak di kawasan Bau-Lundu yang diusahakan oleh Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad.
“Dengan pembukaan stesen minyak ini saya berharap ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan koperasi tetapi juga turut memberi manfaat komuniti setempat khususnya penduduk di luar bandar untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel bagi menjana aktiviti ekonomi harian komuniti,’’ katanya. – Bernama
