Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – TAIB Filling Station Sendirian Berhad (TFSSB) mengadakan Majlis Pembukaan Semula Stesen Minyak TAIB Sendirian Berhad, Cawangan Delima, yang berlangsung di tapak stesen berkenaan kelmarin.
Stesen Minyak TAIB, Cawangan Delima, memulakan semula operasi penjualannya selepas ditutup sejak Ogos 2024 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian.
Pembukaan semula stesen minyak berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan TAIB Filling Station Sendirian Berhad (TFSSB) untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para pelanggan.
Majlis pembukaan semula stesen minyak berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).


Turut hadir Ahli-ahli Lembaga Pengarah TAIB Filling Station Sendirian Berhad (TFSSB), Perbadanan TAIB serta anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Sdn. Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, di samping beberapa jemputan khas daripada pelbagai institusi dan pihak-pihak yang berkepentingan.
Pembukaan semula Stesen Minyak TAIB Sendirian Berhad, Cawangan Delima itu mencerminkan komitmen Perbadanan TAIB dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para pelanggan. Reka bentuk dan kemudahan stesen berkenaan telah dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa serta mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Syarikat Brunei Shell Marketing (BSM), sekali gus memberikan pengalaman baharu melalui perkhidmatan pelanggan yang lebih efisien dan selesa.
Stesen Minyak TAIB Sendirian Berhad, Cawangan Delima merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi, pelanggan serta orang awam atas sokongan yang berterusan dan berharap supaya dengan pembukaan semula stesen berkenaan, ia akan dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.





