ALGIERS, 12 DIS – Algeria mengadakan pilihan raya presiden hari ini yang telah ditentang oleh gerakan bantahan selama sembilan bulan dan dibelenggu oleh pergolakan di beberapa stesen pengundian wilayah.
Penunjuk perasaan yang memaksa presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan pada April telah meneruskan rapat mingguan untuk menuntut pembaharuan yang lebih besar dalam sistem politik sebelum mana-mana pengundian diadakan.
Sejurus selepas pilihan raya bermula, penyerang ‘menyelongkar kotak undi dan memusnahkan sebahagian senarai pengundi’ di rantau pergunungan utama Kabylie, tempat tinggal kebanyakan penduduk minoriti Berber, beritahu seorang penduduk bandar Bejaia kepada AFP.
Di tempat lain di Kabylie, orang ramai mengepung sebuah stesen undi di bandar Tizi Ouzou dan pembantah juga membanjiri jalan raya Bouira, kata saksi.
Kabylie mempunyai sejarah tentangan lama terhadap kerajaan pusat namun pilihan raya presiden pada hari ini adalah tidak popular di seluruh negara. – AFP
