SYDNEY, 1 MEI – Sebuah stesen radio popular di Australia mengaku telah menggunakan hos wanita berasaskan kecerdasan buatan (AI) selama enam bulan tanpa pengetahuan pendengar, sehingga identiti misteri hos tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat.
Memetik laporan Oddity Central, Stesen CADA milik Australian Radio Network (ARN) memperkenalkan hos baharu dikenali sebagai Thy tahun lalu menerusi program bertajuk Workdays with Thy, yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat selama empat jam. Suara wanita muda itu mengendalikan segmen muzik secara konsisten sehingga pendengar mula curiga.
Antara yang menimbulkan persoalan ialah ketiadaan nama penuh, latar belakang, atau maklumat peribadi mengenai Thy. Tambahan pula, beberapa frasa yang diucapkannya kedengaran terlalu seragam dan diulang dengan nada sama pada setiap siaran.
“Apakah nama penuh Thy? Siapa dia sebenarnya? Tiada sebarang biografi atau maklumat lanjut mengenai wanita ini,” tulis penulis dari Sydney, Stephanie Coombes dalam blog peribadinya.

Susulan siasatan oleh pendengar dan penganalisis media, ARN akhirnya mengesahkan bahawa Thy bukan individu sebenar, sebaliknya satu perisian suara AI yang dibangunkan oleh syarikat ElevenLabs. Pengakuan itu disahkan oleh ketua projek ARN, Fayed Tohme, yang menyifatkan eksperimen itu sebagai ‘tiada mikrofon, tiada studio, hanya kod dan semangat’, dalam satu hantaran LinkedIn yang kini telah dipadam.
Tiada undang-undang di Australia yang menghalang penggunaan AI dalam siaran radio ketika ini, namun ARN dikritik hebat kerana gagal mendedahkan penggunaan teknologi tersebut dan dianggap memperdaya pendengar.
Dalam kenyataan rasmi, ARN mengakui percubaan teknologi AI itu dilakukan untuk meneroka potensi baharu dalam penyiaran, namun menegaskan mereka tidak berniat menggantikan hos manusia.
“Ini merupakan ruang yang sedang diteroka oleh penyiar global. Walaupun percubaan ini memberi pandangan berguna, ia turut mengukuhkan nilai unik personaliti sebenar dalam mencipta kandungan menarik,” kata kenyataan itu.
Dengan kewujudan pembaca berita televisyen berasaskan AI di beberapa negara, kebimbangan terhadap masa depan hos radio manusia kini dalam bahaya. Hakikat bahawa pendengar hanya menyedari ‘Thy’ bukan individu sebenar selepas enam bulan turut memperlihatkan tahap ketepatan teknologi suara AI yang semakin hampir dengan realiti. – Agensi