Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Khairil Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean menyatakan rasa lega dan gembirannya dengan keputusan ujian kecergasan yang ditetapkan oleh Pihak Penganjur Liga Singapura (Liga-S) yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong hari ini.
Menurutnya tahun lalu terdapat beberapa orang pemain yang gagal dalam ujian ini dan terdapat yang sukar menamatkan ujian pertama, malah ada yang terpaksa mengambil ujian buat kali kedua untuk memastikan penglibatan mereka dalam liga tahun lalu. Namun kini semua pemain sudah sedia untuk beraksi, menurut Kean.
“Kita sudah mengenalpasti kesebelasan utama dan pasukan kedua serta barisan pemain simpanan yang boleh diturunkan pada bila-bila masa. Kini kita mempunyai kelebihan seminggu sebelum bermulanya liga dan menjadikan lapan minggu bagi persiapan liga musim 2017 ini sangat progresif dan menunjukkan perkembangan positif,” ujarnya.
![Para pemain DPMM FC giat menjalani sesi ujian kecergasan yang ditetapkan oleh Liga-S.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/dpmm-pic_230217.jpg)
Menurutnya, semua pemain menunjukkan komitmen dan salah seorang pemain terpaksa berehat hari ini ekoran kecederaan ringan di bahagian belakang, namun kecederaan itu tidak serius dan tidak membimbangkan. Dan apa yang penting menurutnya adalah mereka semua lulus dalam ujian kecergasan ini.
“Setiap tahun semua pemain akan memperlihatkan peningkatan, baik dari segi fizikal dan mentaliti, ini adalah yang kita mahu dan perkembangan yang ditunjukkan oleh barisan pemain ini adalah yang dihasratkan oleh kelab serta semua ahli yang terlibat,” ujarnya lagi kepada Media Permata.
Menurutnya, ujian ini adalah satu yang kita perlu dipatuhi, para pemain menurutnya mesti akur dengan permintaan penganjur dan pencapaian pemain hari ini sangat positif serta sangat memberangsangkan sambil menegaskan: “Kita sekarang sudah bersedia.”