Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    STIDC akan kemuka pelan reka bentuk projek karbon biru

    SIBU, 19 MAC – Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) akan mengemukakan pelan reka bentuk pembangunan untuk projek karbon biru pertamanya kepada Jabatan Hutan Sarawak bulan depan.

    Inisiatif berkenaan yang dilancarkan pada November lepas melibatkan kawasan Paloh dan Serdeng di Tanjung Manis, bermatlamat memulih dan memelihara ekosistem hutan bakau seluas 10,232 hektar.

    Penolong Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Sumber Lestari STIDC, Hamzah Morshidi berkata penyerahan pelan reka bentuk itu merupakan langkah penting dalam memperoleh lesen perdagangan karbon yang diperlukan bagi projek terbabit.

    “Dalam tempoh dua tahun selepas pengeluaran lesen, kami jangka dapat memasarkan karbon itu. Kami jangkakan menerima pulangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pemegang kepentingan projek itu di sini hari ini.

    Mesyuarat yang diadakan oleh STIDC dengan rakan kongsinya Worldview Climate Solutions (WCS) Malaysia Sdn Bhd, menyediakan platform komunikasi terbuka antara STIDC, WCS sebagai perunding, dan 24 agensi kerajaan, penyelidik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

    Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyerapan karbon, menyokong kepelbagaian biologi tempatan dan menggalakkan ekopelancongan di kawasan terbabit.

    Hamzah turut menekankan potensi impak positif terhadap komuniti setempat, iaitu pertanian dan perikanan menjadi aktiviti ekonomi utama.

    “Kebanyakan penduduk di Paloh dan Serdeng bergantung kepada pertanian dan perikanan, dan kawasan persekitaran mereka didominasi oleh hutan bakau yang telah ditebang dan ditinggalkan. Projek ini akan membantu memelihara ekosistem bakau, seterusnya mengembalikan hidupan marin di kawasan itu,” katanya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda