Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stigma, diskriminasi punca penghidap HIV jauhi rawatan

    HANOI, 7 JUN – Stigma dan diskriminasi sering menjadi punca penghidap HIV/AIDS lari daripada perkhidmatan kesihatan dan sokongan yang mereka perlukan.

    Ini sekali gus meningkatkan penyebaran wabak itu, menurut pengarah serantau Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap HIV/AIDS (UNAIDS) Asia-Pasifik, Eamonn Murphy.

    Bercakap pada bengkel serantau Asia Tenggara yang diadakan bersama oleh UNAIDS dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Bangkok pada Rabu, Murphy menekankan bagaimana penjagaan kesihatan saling berkait dengan hak asasi manusia dan kerjasama masyarakat.

    Ini adalah kali kedua acara itu diadakan yang bertujuan untuk menangkis prasangka buruk yang dihadapi oleh penghidap HIV (PHIV).

    “Ujian, pencegahan dan rawatan sendiri tidak mencukupi untuk mencapai matlamat menamatkan AIDS (peringkat akhir jangkitan HIV).

    Pemimpin masyarakat sebar maklumat HIV di Dak Lak, Vietnam. – ANN/Vietnam News

    “Penglibatan masyarakat adalah kunci untuk membina kepercayaan dan mendapatkan hasil yang diharapkan,” kata Murphy.

    Statistik UNAIDS menunjukkan bahawa di seluruh negara Asia Pasifik, 22 peratus daripada PHIV tidak mengetahui status mereka.

    Sementara itu, 16 peratus daripada PHIV di seluruh wilayah telah pun didiagnosis tetapi tidak mendapatkan rawatan.

    “Kami mempunyai populasi yang besar walaupun peratusannya kecil, apabila awda menterjemahkannya ke dalam saiz populasi, ia adalah penting,” tambah Murphy.

    Sehingga 2022, terdapat kira-kira 6.5 juta PHIV di Asia Pasifik, bersamaan dengan kira-kira 16 peratus daripada jumlah HIV global iaitu sekitar 39 juta orang.

    Rantau ini juga membentuk kira-kira 24 peratus daripada jumlah jangkitan HIV baharu di seluruh dunia, dan menyumbang kira-kira 150,000 kematian berkaitan AIDS pada tahun yang sama. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda