Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei, Lambak (STJ PGGMB Lambak) dan Unity Primary School, Singapura telah mengadakan sesi pertemuan secara maya melalui Program Immersion Sekolah, baru-baru ini.
Program pengantarabangsaan itu bertujuan untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang-bidang akademik dan juga kebudayaan.
Seramai 13 orang guru dari Jabatan Bahasa Melayu di kedua-dua buah sekolah berkenaan menghadiri sesi itu untuk berkongsi kaedah-kaedah pengajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
STJ PGGMB Lambak diketuai oleh Guru Besar, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan, manakala itu Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Rasidah Ahmad mengetuai peserta dari Unity Primary School, selaku sekolah penganjur.
Acara telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Haji Roslan dan diikuti dengan ucapan penghargaan daripada Rasidah atas kesediaan STJ PGGMB Lambak dalam sama-sama menjayakan program tersebut.
Perbincangan memfokuskan kepada kaedah-kaedah pengajaran baharu yang diperkenalkan oleh kedua-dua buah sekolah yang direka bentuk dengan menggunakan aplikasi-aplikasi pengajaran digital untuk menyokong proses pembelajaran.
Dengan kemudahan akses Internet di sekolah, program itu berjaya dilaksanakan dan membantu meningkatkan pencapaian akademik sekolah.
Turut menghadiri pertemuan secara maya itu ialah ahli Jawatankuasa Tadbir PGGMB bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Haji Yahya bin Haji Mirasan.
Program Immersion itu sudah bermula sejak 2021.