Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dengan hasrat untuk memupuk rasa cinta dan sayang kepada sekolah serta menjana persekitaran sekolah yang selesa, Sekolah Tunas Jaya PGGMB (STJ PGGMB), Madang telah merasmikan beberapa buah taman di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Perasmian taman-taman berkenan telah dilaksanakan oleh Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri.
Taman-taman berkenaan telah diusahakan oleh para guru dan murid sekolah berkenaan mengikut blok masing-masing.
Mengulas mengenai taman-taman berkenaan, Haji Mustapa berkata bahawa ia merupakan langah yang positif untuk membisaikan dan menceriakan kawasan serta suasana sekolah.
Usaha itu, tambahnya, dapat menambahkan tarikan kepada warga sekolah dan juga ibu bapa, penjaga murid serta masyarakat umum.
Pembinaan taman-taman itu dihasratkan untuk memupuk dan menanamkan rasa cinta serta sayang kepada sekolah, mencantikkan kawasan sekolah supaya ia menjadi lebih menarik dan membina suasana yang lebih selesa kepada warga sekolah.
